RM1.3b pembiayaan Agrobank bantu usahawan mikro

48

26 NOV: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Agrobank sentiasa ambil pendekatan proaktif dan memainkan peranan penting dalam membantu usahawan mikro dalam sektor pertanian dan industri makanan.

Malah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengesahkan, sehingga 30 Oktober 2020, Agrobank telah mencatatkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion iaitu kepada 39,130 usahawan mikro.

Berikutan itu, tidak hairanlah jika Agrobank juga menawarkan pelbagai kemudahan bantuan kewangan kepada usahawan dalam aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca Covid-19.

RONALD KIANDEE

“Pertamanya, Skim Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA). Skim ini menawarkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus.

“Had pembiayaan adalah minimum RM1,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap individu dan tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun atau 60 bulan. Malah, sehingga 22 November 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 8,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM73 juta,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bersatu Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang meminta MAFI menyatakan sejauh manakah Agrobank memainkan peranan dalam pembiayaan mikrokredit bagi membantu usahawan mikro yang mengusahakan aktiviti perniagaan yang berasaskan pertanian dan industri makanan.

Mengulas lanjut, Ronald berkata Agrobank juga menyediakan program ‘Agrobank Microenterprises Special Relief’ di mana pihak bank akan membiayai enam bulan ansuran awal untuk akaun sedia ada atau akaun baharu dan pelanggan tidak perlu membayar enam bulan pertama skim pembiayaan.

Beliau berkata dengan itu, tempoh enam bulan terbabit membolehkan usahawan mikro memberi tumpuan sepenuhnya dalam memulihkan kembali aliran tunai pendapatan.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020, Agrobank telah meluluskan lebih 4,600 permohonan di bawah dana-dana sedia ada dengan jumlahpembiayaan keseluruhan bernilai RM203 juta.

“Ketiga, Agrobank juga menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada usahawan muda melalui Program Agropreneur Muda. Skim pembiayaan di bawah program ini menyediakan pinjaman maksimum sehingga RM200,000 bagi projek pertanian,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.