Pindaan Akta 355 ikut kerangka Perlembagaan Persekutuan

113

26 NOV: Kerajaan sedang melaksanakan beberapa proses penting berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 atau Akta 355 agar ia dapat digubal secara tertib mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan juga telah melakukan rombakan semula keanggotaan Jawatankuasa Teknikal pada 16 Ogos lalu bagi memperkasakan dan memantapkan lagi pasukan tersebut yang terdiri daripada golongan professional yang pakar dalam perundangan khususnya syarak dan sivil.

“Sejurus perlantikan tersebut pada 2 hingga 6 September, jawatankuasa teknikal tersebut telah adakah mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk membincangkan cadangan Akta 355. Dalam perbincangan tersebut, pindaan Akta 355 telah dibincangkan seterusnya pada 1 hingga 3 oktober, telah adakan mesyuarat khas untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) 355 dengan input-input yang dihasilkan dan telah dipersetujui melalui perbahasan sebelum itu.

ahmad marzuk shaary
AHMAD MARZUK SHAARY

“Hasilnya, jawatankuasa teknikal telah berjaya menggubal draf RUU 355. Jawatankuasa teknikal merancangkan untuk membentangkan pindaan Akta 355 dan draf RUU 355 yang telah digubal tersebut kepada negeri-negeri melalui majlis dialog undang-undang dan Persidangan Undang-Undang Syarak dan sivil yang dirancang diadakan pada awal 2021.

“Di peringkat ini, cadangan pindaan akta dan draf RUU 355 akan dibincangkan dan dibahaskan dengan terperinci dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan perundangan dan hukum syarak oleh ahli-ahli yang berpengetahuan luas dalam perlembagaan dalam perundangan syarak dan sivil dan sebahagiannya adalah di kalangan pembuat dasar dan syariah di peringkat negeri,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari tentang usaha-usaha yang telah dijalankan setakat ini untuk memastikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan ia terlebih dahulu kepada Dewan Rakyat berbanding melakukan pertemuan dan rundingan dengan pihak-pihak professional dan tertentu, Ahmad Marzuk memberitahu kerajaan tidak bercadang untuk mengikuti cadangan itu yang berpendirian RUU 355 harus mendapat pandangan pelbagai pihak sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Walaupun Akta 355 ini undang-undang persekutuan, peruntukan-peruntukan di bawahnya berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah dan bidang-bidang bertulis yang memperuntukkan kesalahan jenayah syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Oleh sebab itu, amat wajat pandangan kerajaan sekiranya cadangan meminda Akta 355 dirunding dengan negeri-negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan sebelum dibentang kelak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga telah melaksanakan pelan bagi memperkasakan undang-undang syariah bagi tempoh lima tahun yang akan melibatkan sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama termasuk undang-undang baharu dan pindaan sedia ada.

“Penggubalan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 merupakan sebahagian pelan tersebut. Selain pindaan Akta 355, kerajaan merancang mengubal beberapa undang-undang syariah termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Wakaf, RUU Kawalan Dana Sekatan Pegembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti, RUU mahkamah Syariah dan lain lain untuk diperinci,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.