PH tidak beri laluan mudah Bajet peringkat jawatankuasa

114

26 NOV: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Kementerian Kewangan memberi respons positif berhubung isu kebajikan rakyat dalam sesi penggulungan Belanjawan 2021 petang ini.

Justeru katanya, Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan tidak memilih untuk undi belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 kerana ingin memberi tumpuan kepada perbahasan RUU peringkat jawatankuasa.

Jelas Anwar, PH bagaimanapun tidak akan memberi laluan mudah untuk meluluskan RUU berkenaan.

Katanya, pihaknya akan menentukan RUU itu diluluskan atau sebaliknya menerusi bacaan kali ketiga selepas sesi penggulungan oleh setiap kementerian bermula Isnin ini.

“Saya minta mereka (pembangkang) setuju atas dasar pertama (Tengku Datuk Seri) Zafrul (Abdul Aziz), tapi beliau tidak menjawab isu pokok. Tapi dia memberi respons positif berhubung isu kebajikan rakyat.

“Jangan ingat mereka (kerajaan) boleh merayakan kelulusan ini. Kita menolak belanjawan ini dari segi prinsipnya, unjuran salah dan hasil pendapatan yang tidak realistik,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Pada sesi pengundian kelulusan Belanjawan 2021 petang ini, hanya 13 wakil pembangkang bangun meminta undi diadakan secara belah bahagi.

Ini sekali gus menimbulkan kecaman dalam kalangan penyokong PH di media sosial. Malah segelintir pemimpin pembangkang juga menyindir keputusan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.