Peruntukan pembangkang Johor naik 300 peratus

144

26 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor membuktikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan apabila mengumumkan kenaikan peruntukan sebanyak tiga kali ganda bagi wakil rakyat pembangkang mulai tahun depan.

Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan Johor 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad hari ini, mereka akan menerima peruntukan sebanyak RM150,000 berbanding RM50,000 ketika ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut adalah untuk membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Ketika membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Hasni menambah, ketua pembangkang Johor turut menikmati kenaikan elaun daripada RM3,000 kepada RM5,000 dan seorang pembantu tadbir disediakan untuk beliau.

“Kenaikan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan pembangkang yang bersifat konstruktif selain mengangkat martabat institusi wakil rakyat,” katanya.

Hasni memberitahu, menerusi Agenda Governans Johor, kerajaan negeri Johor tetap beriltizam untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan urus tadbir supaya lebih cekap, berintegriti dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Transformasi Governans Johor dapat dilaksanakan menerusi pemerkasaan penjawat awam dan inisiatif pemodenan,” jelasnya.

Beliau berkata inisiatif pertama, bagi meningkatkan kompetensi dan kapasiti penjawat awam, kerajaan negeri telah mewujudkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor.

“Kedua, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi membuka ruang kepada penjawat awam negeri untuk memiliki kelayakan profesional dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti insinyur (Ir), surveyor (Sr) dan akauntan bertauliah (CA),” katanya.

Beliau berkata kerajaan Johor juga akan melaksanakan kenaikan pangkat secara ‘time based’ berasaskan kecemerlangan untuk kali kedua, yang bertujuan memberikan laluan kerjaya lebih baik kepada pegawai kumpulan pelaksana dalam perkhidmatan awam negeri.

“Keempat, kerajaan negeri juga merafak sembah takzim dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang menjadi sebuah bandar raya, berkuat kuasa pada 22 Nov 2020.

“Pemasyhuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) ini akan meningkatkan keupayaan MBPG dalam menguruskan pembangunan pesat, melestarikan sektor ekonomi yang berteraskan industri dan pelabuhan di Pasir Gudang serta memelihara alam sekitar, selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor,” katanya.

Menurut Hasni, kerajaan negeri Johor kini meneliti cadangan untuk menaik taraf Majlis Daerah Pontian menjadi perbandaran selain menggiatkan lagi pendigitalan tadbir urus kerajaan selari dengan Agenda Johor Digital.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.