Lebih banyak aset PDRM kawal sempadan utara

142

26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan lebih banyak aset termasuk kereta perisai dan anggota polis dari Bukit Aman ke sempadan Malaysia-Thailand bagi mengukuhkan kawalan sempadan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata langkah itu susulan insiden kedua serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara petang semalam, selepas serangan pertama sehari sebelum itu yang menyebabkan seorang anggota PGA terkorban dan seorang lagi cedera parah.

Beliau berkata, pasukan operasi daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Unit Komando 69 digerakkan ke kawasan sempadan bagi melumpuhkan pergerakan kumpulan penyeludup.

“Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah dengan polis Kedah merampas lebih 100 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM10 juta petang semalam,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid turut menyatakan rasa bangganya terhadap anggota PGA yang terus bersemangat dalam melaksanakan tugas walaupun berhadapan dengan serangan penyeludup.

“Serangan itu tidak melunturkan semangat pegawai dan anggota PGA yang bertugas di kawasan sempadan,” katanya.

Semalam, seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata PGA yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia -Thailand akan menukar strategi dan sistem rondaan di kawasan terbabit untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan.

Perubahan strategi itu perlu kerana sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian tembakan sehingga mencederakan anggota pasukan berkenaan.

Semalam juga, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan pembabitan pelbagai agensi.

Senada dengan perkara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan selain penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.