Dua peluru di tubuh Norihan sudah dibuang

142

26 NOV: Anggota polis yang diserang ketika bertugas di sempadan Perlis-Thailand, Sarjan Norihan Tari selamat menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru di badannya di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berusia 39 tahun itu parah selepas terbabit insiden berbalas tembakan dengan penyeludup dekat Padang Besar, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, Norihan masih belum sedar namun keadaannya stabil.

“Norihan menjalani pembedahan bermula 1.30 tengah hari hingga 5.45 petang, yang dikendalikan pakar HPP. Berdasarkan maklumat pakar, dia belum sedarkan diri namun stabil.

“Dua peluru di perut dan dekat tulang belakang berjaya dikeluarkan. Satu lagi peluru di paru-paru masih ada dan kita menunggu nasihat doktor untuk itu (pembedahan mengeluarkannya),” katanya hari ini.

Abd Rahim berkata, pasukan pakar memantau kesihatan Norihan yang ketika ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Norihan dipindahkan ke hospital itu dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menjalani pembedahan membuang peluru dan rawatan lanjut.

Dalam kejadian 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan parah, manakala Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban selepas terbabit dalam insiden berbalas tembakan di sempadan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.