Dewan Rakyat tegang seketika gara-gara telur

430

26 NOV: Tindakan Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang menuduh, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, mentertawakannya kerana membangkitkan isu harga telur ayam mencetuskan ‘perang mulut’ antara kedua-dua wakil rakyat berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Alexander menegaskan beliau tidak mentertawakan wakil rakyat DAP berkenaan sebaliknya Ahli Parlimen PBB-GPS Kapit terbabit menegaskan beliau ketawa kerana apa yang diperkatakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang duduk disebelahnya.

“YB cuba main politik ke apa? Siapakan yang ketawakan kamu? Saya bukan ketawakan perkara yang YB bangkitkan tetapi saya ketewa kerana apa yang dikatakan oleh kawan saya disebelah ini (sambil menunjukkan tangan ke arah Wan Junaidi).

“Saya bukan ketawakan apa yang ingin diperkatakan oleh Yang Berhormat tetapi perkara yang lain bersama kawan sebelah saya. Ini tuduhan tidak baguslah. Kamu seorang yang ‘Narrow Minded’ semua nak main politik. Apa yang kamu katakan adalah satu sangkaan jahat kerana saya bukan ketawakan YB punca soalan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen Kota Melaka mengenai sama ada KPDNHEP ada membuat penelitian terhadap punca sebenar kenaikan harga telur ayam yang disifatkan sebagai makanan perlu untuk semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Seperti yang kita tahu KPDNHEP menitik beratkan soal kawalan harga saya mahu bangkitkan isu soal harga telur ia adalah makanan perlu bagi semual lapisan masyarakat di Malaysia. Adakah kementerian meneliti kadang kala harga telur naik sehingga menyebab pengeluar tanggung kerugian menteri jangan ketawa,” kata Poay Tiong.

Khoo Poay Tiong

Tindakan Poay Tiong berterusan menyerang Alexander menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, campur tangan bagi meredakan keadaan dan membolehkan menteri berkenaan meneruskan ucapan perbahasannya.

Sementara itu, Alexander dalam satu kenyataan berkata, tindakan beliau berbalas kata-kata dengan Poay Tiong adalah disebabkan provokasi dan tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan oleh ahli Parlimen Kota Melaka itu.

“Saya bukan ketawa ketika YB Khoo mengajukan soalan tentang telur, tetapi pada ketika itu saya sedang duduk dan senyum bagi mengiyakan perbualan ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya tidak takut dan sentiasa bersedia untuk menjawab isu telur yang diketengahkan. KPDNHEP sentiasa mengambil berat dan memantau apa sahaja isu kepenggunaan dan barangan yang dipertanggungjawabkan di bawah kementerian ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.