Undilah dengan bijaksana esok

186

25 NOV: Kesemua 220 ahli Parlimen diharap membuat keputusan dengan penuh bijaksana pada proses pengundian Belanjawan 2021 esok demi kebaikan rakyat dan negara. di saat negara berdepan wabak COVID-19 sekarang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau yakin kesemua mereka yang dipilih rakyat faham dengan situasi semasa negara yang ketika ini berhadapan pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap ahli-ahli Parlimen mengundi dengan bijaksana,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham ditanya wartawan mengenai harapannya menjelang proses pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok.

Setelah dibahaskan bermula 9 November lalu, esok dijadualkan penggulungan oleh Kementerian Kewangan sekali gus akan menyaksikan proses pengundian untuk kelulusan Belanjawan 2021.

Belanjawan tahun depan itu memberi banyak penekanan kepada usaha kerajaan mendepani cabaran COVID-19 dan ekonomi semasa yang terkesan dengan pandemik tersebut.

Selain itu, turut diperuntukkan pelbagai insentif sebagai menghargai petugas barisan hadapan KKM.

Walau bagaimanapun, pada masa sama wujud tanda tanya mengenai sokongan ahli-ahli Parlimen kepada Belanjawan 2021 berikutan perkembangan isu politik semasa.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham berkata, individu yang disahkan negatif COVID-19 dan diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari boleh memohon dengan KKM untuk memendekkan tempoh kuarantin jika mempunyai sebab munasabah.

Beliau berkata, permohonan itu akan dibincangkan oleh satu jawatankuasa dan penilaian risiko akan dilakukan terhadap individu terbabit sebelum kebenaran memendekkan tempoh kuarantin diberikan.

Katanya, berbeza dengan negara lain termasuk negara jiran yang mengenakan tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari untuk kes COVID-19, Malaysia mengambil pendekatan mengenakan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

“Kita ada pertimbangan menggunakan Seksyen 15 (1) Akta 342 iaitu seorang pegawai diberi kuasa boleh memerintah supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat bagi apa-apa tempoh yang difikirkan patut atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang lain.

“Kalau ada permohonan dihantar kepada kita dan jawatankuasa akan melihat. Kita ada juga memberi pertimbangan untuk memendekkan tempoh contohnya hari ke-12 dan ke-13 berikutan ada yang perlu menduduki peperiksaan atau urusan pernikahan.

“Apa yang pasti, ujian hari ke-13 akan diawalkan ke hari ke-12 atau ke-11. Jika ujian negatif atau tidak bergejala dan penilaian risiko mendapati tiada risiko, barulah kita pertimbangkan menggunakan peruntukan Akta 342. Itulah pertimbangan oleh KKM,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.