Boleh bayar ansur-ansur, TNB tak potong elektrik

600

25 NOV: Pengguna yang terjejas akibat penularan pademik Covid-19 boleh memohon membuat pembayaran tunggakan bil elektrik secara ansuran dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh pemulihan ekonomi.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ini kerana TNB sememangnya membenarkan pengguna elektrik membuat pembayaran tunggakan bil elektrik secara ansuran terutamanya semasa tempoh pemulihan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Dalam hal ini, Shamsul Anuar berkata TNB telah melaksanakan Pelan Bayaran Mudah (PBM) sehingga 31 Disember 2020 bagi membantu pengguna domestik yang terkesan dengan bil elektrik yang lebih tinggi akibat peningkatan penggunaan elektrik semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

“PBM ditawarkan secara automatik kepada semua pengguna domestik bermula dari penyerahan bil sebenar mulai 15 Mei 2020. Di bawah PBM, jumlah yang perlu dibayar dalam bil bulanan sebenar akan dibahagikan berdasarkan peratusan tertentu pada setiap bulan sehingga bulan Disember 2020.

“Tiada surcaj lewat bayar dan tiada pemotongan bekalan dikenakan apabila pengguna membayar amaun PBM setiap bulan dan sekiranya pengguna belum membayar jumlah PBM sepenuhnya dalam tempoh kredit 30 hari, surcaj lewat bayar ke atas jumlah bil yang tertunggak tidak akan dikenakan sehingga 31 Disember 2020,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata sepanjang tempoh berkenaan tiada pemotongan bekalan akan dilaksanakan oleh TNB kecuali dalam kes-kes tertentu sepert permohonan daripada pengguna akaun berdaftar; arahan daripada pihak berkuasa dan kes usikan pepasangan meter.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menjayakan rancangan untuk menyerahkan kuasa pembekalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, Jemaah Menteri juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal dalam masa terdekat ini untuk memulakan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah.

“Kerajaan juga mengambil perhatian yang serius terhadap masalah bekalan elektrik di Sabah dan akan mencari jalan supaya masalah ini dapat diselesaikan bersama kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Shamsul Anuar berkata, kerajaan sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang akan menggariskan prosedur dan amalan terbaik aktiviti terbabit.

Beliau berkata, SOP itu akan merangkumi tiga fasa iaitu pra, semasa dan pasca perlombongan.

“Hala tuju baharu pembangunan industri mineral negara akan menekankan kepada kelestarian dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

“Oleh itu, beberapa SOP sudah dibangunkan, dimulakan dengan dokumen SOP Bauksit Pahang, Terengganu dan Johor yang sudah diguna pakai. Kementerian sedang memuktamadkan satu lagi SOP iaitu SOP NR-REE,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kementerian juga akan melaksanakan pengezonan kawasan sumber mineral supaya industri berkenaan dapat dibangunkan tanpa menjejaskan komitmen kerajaan untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara ini sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok.

Shamsul Anuar berkata, mesyuarat pertama Majlis Mineral Negara (MMN) dijangka diadakan penghujung tahun ini.

Katanya, MMN akan menjadi platform tertinggi membabitkan keahlian kerajaan Persekutuan dan negeri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.