Serang anggota PGA, 18 lelaki direman

228

25 NOV: Seramai 18 lelaki warga Thailand dan tempatan direman di Mahkamah Majistret Kangar antara empat ke tujuh hari, bagi membantu siasatan kes serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar, Perlis semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, selepas mendapat permohonan polis bagi menyiasat semua suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun berkenaan.

Tiga lelaki warga Thailand ditahan polis dalam operasi khas sejak semalam, direman selama tujuh hari, manakala 15 warga tempatan direman empat hari.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan, warga tempatan yang ditahan terbabit menjadi antara ahli sindiket penyeludupan dadah dan ketum yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut akibat terkena dua das tembakan di dada dan perut, manakala seorang lagi anggota PGA parah terkena tembakan di perut.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua tangkapan dibuat di sekitar negeri ini mulai jam 7 pagi semalam.

Katanya, semua suspek dipercayai menjadi anggota sindiket penyeludupan ketum yang mempunyai kaitan dengan sindiket di negara jiran.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.