RM1.6 juta hilang, dua ASP ditahan

131

25 NOV: Dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini, ditahan berhubung kehilangan wang RM1.6 juta dalam serbuan yang mereka lakukan di Bukit Segambut, pada 12 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun dalam bangunan dan Seksyen 384 kanun sama kerana melakukan pemerasan.

Saiful Azly berkata kesemua suspek terdiri daripada dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan empat anggota sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan dan menunggu kertas pendakwaan disiapkan.

“Polis juga turut mengambil keterangan dari mangsa yang juga pengadu berhubung kehilangan wang tunai RM1.6 juta ketika serbuan dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu,” katanya.

Dalam serbuan pada jam 6.30 petang, mangsa seorang lelaki warga China berusia 30 tahun ditahan bersama isterinya juga warga China dan dua pembantu mereka.

Ketika serbuan dibuat, suspek disyaki menemui dan merampas wang tunai RM1.6 juta, barang kemas, jam tangan dan sarang burung selain membawa empat tangkapan terbabit ke IPD Sentul.

Bagaimanapun selepas siasatan selesai dijalankan dan ketika mangsa hendak dibebaskan pada jam 3 pagi, suspek dipercayai hanya menyerahkan barangan kemas dan sarang burung kepada mangsa selain tidak diberikan borang senarai pemeriksaan barangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.