Perluas Op Benteng kawal sempadan Malaysia-Thailand

117

25 NOV: Kementerian Pertahanan akan mengkaji keperluan untuk menempatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal sempadan Malaysia-Thailand berikutan insiden serangan terhadap anggota-anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) awal pagi semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pasukan Bertindak Kebangsaan yang mengendalikan kawalan sempadan dalam Op Benteng.

“Mungkin ada keperluan untuk Op Benteng itu dibawa ke kawasan sempadan sebelah utara, libatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh, tak lagi agih kawasan ikut agensi.

“Untuk tingkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan, perlu tambahan anggota sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Beliau diminta mengulas tentang rancangan meningkatkan kawalan sempadan utara negara berikutan serangan oleh kumpulan penyeludup yang mengorbankan mendiang Ramli Baharuddin dan menyebabkan rakan setugasnya, Norihan Tari cedera parah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, seramai 8,760 pendatang asing tanpa izin (PATI), 798 tekong dan 360 penyeludup berjaya ditahan melalui Op Benteng sepanjang 1 Mei lalu sehingga semalam.

“Semalam, Op Benteng telah berjaya menahan 36 PATI, seorang tekong serta merampas lima kenderaan darat dan sebuah bot/kapal dalam operasi yang diadakan di seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM menahan seramai 312 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) semalam dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (99), tidak memakai pelitup muka (89), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (50), rentas daerah/negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (34), aktiviti pusat hiburan (29) dan lain-lain (11),” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.