“Moga ada berita baik esok”

755

25 NOV: Barisan Nasional (BN) diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di bangunan Parlimen hari ini.

Pertemuan menjelang pengundian Belanjawan 2021 yang dijadualkan esok itu antara lain menyentuh mengenai moratorium bayaran pinjaman bank dan syarat pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disuarakan BN sebelum ini.

Ini seperti dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut berkongsi gambar pertemuan tersebut di laman Twitternya petang tadi.

Yang hadir sama mewakili 42 ahli Parlimen BN ialah Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Moratorium bayaran pinjaman dan KWSP akaun 1 tentu dibincang.

“Kita tunggu pengumuman beliau (Tengku Zafrul) pada Khamis 26 November. Moga ada berita baik,” ciap Ahli Parlimen Pontian itu.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook beliau berkata, insya-Allah moga-moga ada perkhabaran yang positif daripada sesi pergulungan yang akan dibuat oleh Menteri Kewangan esok.

“Tengah hari tadi Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi ditemani Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Rahman mewakili 42 Ahli-ahli Parlimen BN mengadakan perbincangan kali terakhir dengan Menteri Kewangan.

“Ia mengenai suara rakyat yang mahukan Kerajaan memperlonggarkan syarat-syarat pengeluaran Akaun 1 KWSP dan isu-isu berkaitan lanjutan moratorium.

“Insya-Allah moga-moga ada perkhabaran yang positif daripada sesi pergulungan yang akan dibuat oleh Menteri Kewangan hari esok,” katanya.

Hantaran Asyraf itu turut dikongsi Ahmad Zahid.

Sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan 6 November lalu, Tengku Zafrul turut mengadakan sesi konsultasi bersama parti-parti politik termasuk UMNO.

Malam tadi, dalam kenyataan bersama 11 menteri dan 9 timbalan menteri BN melahirkan keyakinan rakan-rakan ahli Parlimen BN akan bersama menyokong Belanjawan 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.