Lagi anggota PGA ditembak di sempadan

234

25 NOV: Tidak sampai 48 jam selepas dua anggota polis diserang penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, petang ini seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkena tembakan ketika sedang bertugas dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian di sempadan Kedah-Songkhla itu, anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru disahkan mengalami kecederaan ringan akibat tembakan yang dipercayai dilepaskan dari negara jiran.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

“Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan.

“Beliau (mangsa) kemudian melihat ada kelibat manusia di kawasan itu. Kita syak dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya ketika dihubungi media malam ini ini.

Tembak PGA

Anggota terbabit sudah dibawa keluar dan kini sedang mendapat rawatan lanjut.

Maklumat lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Ini adalah kejadian kedua membabitkan serangan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota PGA selepas dua anggota PGA diserang di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.