Kilang Top Glove 1,511 kes positif, tertinggi di Malaysia

174

25 NOV: Kerajaan mengesahkan jumlah kes positif COVID-19 di kilang Top Glove semalam iaitu sebanyak 1,511 kes merupakan penyumbang tertinggi bukan sahaja di Selangor malah di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 28 kilang milik syarikat itu ditutup secra berperingkat bagi membolehkan para pekerja menjalani ujian saringan dan proses kuarantin.

Menurut beliau, sehingga semalam, 20 kilang ditutup manakala tujuh kilang ditutup hari ini dan sebuah lagi akan menyusul.

“Secara keseluruhan, kilang ini mempunyai 11,215 pekerja. Sehingga 24 November 2020, sebanyak 5,795 ujian saringan telah dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan PKPD telah direkodkan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dikuatkuasakan di asrama pekerja lelaki dan wanita Top Glove.

Ismail Sabri menambah, bagi mengelakkan penularan di kawasan komuniti, pihak kilang juga telah diarahkan untuk menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD dan akan dikuarantin.

“Kesemua pekerja yang telah disaring dan didapati positif COVID-19 telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif telah dikuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan
seperti Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di taman-taman perumahan di mukim Sungai Seluang di Kulim mulai 27 November hingga 10 Disember ini.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di Taman Telipok Ria, Tuaran mulai 27 November hingga 10 Disember ini.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPD di Kampung Pengaraban, Kampung Tanjungg Kampor dan Kampung Landung Ayang di Kudat yang bermula pada 30 Oktober lalu ditamatkan esok seperti yang dijadualkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.