Kewangan sosial Islam bantu pulih ekonomi negara

330

25 NOV: Kewangan sosial Islam amat relevan dalam menangani cabaran semasa dan memulih semula ekonomi negara yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha untuk membina semula negara ini tidak seharusnya disandarkan ke bahu kerajaan semata-mata.
Menurut beliau, institusi-institusi perbankan dan kewangan juga haruslah memainkan peranan bersama dalam merealisasikan matlamat ini.

“Perbankan Islam mempunyai potensi yang besar untuk memanfaatkan instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah.

“Instrumen-instrumen ini tidak seharusnya terhad kepada penyediaan keperluan asas dan sara hidup golongan yang memerlukan atau untuk tujuan keagamaan seperti pembinaan masjid dan madrasah sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Pembiayaan Mikro BangKIT dalam Bulan Kewangan Sosial anjuran Bank Islam, hari ini.

Mustapa Mohamed berucap merasmikan pelancaran Pembiayaan Mikro BangKIT dalam Bulan Kewangan Sosial anjuran Bank Islam, hari ini.

Mustapa memberitahu, kewangan sosial Islam boleh dikembangkan untuk membangunkan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang terkesan teruk ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu, bagi membolehkan mereka berdikari dan lebih berkemampuan dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau, pengenalan program kewangan sosial di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pembiayaan Mikro iTEKAD, adalah contoh program khusus untuk membantu dan menyokong usahawan mikro B40 dan asnaf yang pendapatannya terjejas ekoran pandemik COVID-19.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Bank Islam kerana berjaya dengan rakan-rakan pelaksana seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia),” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.