Jeffrey dapat pelepasan, pembangkang tak puas hati

99

25 NOV: Walaupun Ahli Parlimen STAR Keningau, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan telah mendapat perintah pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam bagi membolehkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini, wakil pembangkang masih lagi tidak berpuas hati.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Can Foong Hin menggesa agar Jeffrey dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini.

Beliau membuat gesaan itu sebaik sahaja sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat pagi tadi berakhir.

Namun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan sidang dengan tenang menyatakan perkara itu perlu diberikan kepadanya agar tindakan susulan dapat dilakukan dan setakat ini hanya bertindak mengikuti saranan yang diberikan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Urutan perkara dibangkitkan kelmarin dan menerima kelmarin dan menerima surat daripada Jabatan Kesihatan. Rumusannya adalah sekiranya ada cadangan dirujuk kepada Hak Jawatankuasa dan Kebebasan maka perlu ditulis kerana mempunyai jawapan dari KKM.

“Semua klinik kesihatan, doktor sendiri mendapatkan maklumat daripada KKM. Kalau Kota Kinabalu mencadangkan dirujuk maka perlu tulis kepada kami untuk buat urusan seterusnya,” katanya.

Semalam, Azhar mengesahkan Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah telah mendapat perintah pelepasan daripada KKM kelmarin bagi membolehkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Azhar berkata mengikut makluman yang diterima, Jeffrey mula dikuarantin pada 12 November lalu dan telah pun disahkan bebas COVID-19 manakala gelang kuarantin beliau dipotong di Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, semalam.

Keputusan itu menyebabkan pembangkang khususnya Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah seperti Ahli Parlimen Datuk Mohd Azis Jamman yang tidak berpuas hati kerana berpandangan Jeffrey tidak sepatutnya berada di dalam dewan.

Namun, Azhar menyatakan beliau hanya bertindak mengikuti saranan yang diberikan KKM dan MKN dan memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan isu yang sedang dihadapi dengan sebaik-baiknya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.