Dakwa kereta Honda untuk exco satu fitnah – MB

295

25 NOV: Dakwaan pembelian 12 buah kereta jenis Honda Accord yang tular di laman sosial kononnya untuk kegunaan barisan exco kerajaan negeri adalah fitnah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kereta berkenaan sebaliknya untuk kegunaan ketua-ketua jabatan di negeri itu dan kelulusan pembelian dibuat dalam Belanjawan Kedah 2020, iaitu semasa di bawah pentadbiran menteri besar terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

sanusi

“Ada kenderaan yang dibeli oleh pegawai (ketua jabatan) yang telah berpencen (ada kelayakan), jadi kenalah beli kenderaan lain untuk gantikan kereta jabatan berkenaan.

“Ada juga kenderaan yang sudah dilupuskan kerana kos penyelenggaraan melebihi 100 peratus daripada harga beli, ada juga jabatan yang keretanya sudah melebihi 10 tahun dan kos penyelenggaraan terlampau tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.

Beliau membuat penjelasan itu susulan tular di laman sosial sejak semalam, satu klip video memaparkan deretan kereta Honda Accord kononnya baru dibeli untuk kegunaan barisan exco Kedah.

Beliau berkata selain Honda Accord, 11 buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut dibeli untuk kegunaan pelbagai jabatan di negeri itu.

“Ada jabatan yang langsung tiada kenderaan, ada juga pegawai yang terpaksa guna kenderaan sendiri untuk tugasan luar, jadi kita kena beli kenderaan baharu untuk melancarkan urusan rasmi jabatan berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.