Teresa disindir, MP Ketereh tak suruh minum sesudu sawit

1,458

25 NOV: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, membidas penghinaan dibuat oleh Ahli Parlimen PH Seputeh, Teresa Kok, yang mengatakan Program Wilayah Berniaga akan menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sama seperti pekan Ketereh di Kelantan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen BN Ketereh berkata, wakil rakyat DAP berkenaan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia menghina penduduk di kawasan parlimennya.

Justeru, Annuar mempelawa Teresa berkunjung ke Parlimen Ketereh dengan semua perbelanjaan termasuk tiket kapal terbang, bagi memberi peluang kepada wakil rakyat DAP berkenaan bercuti dan meninjau sendiri keadaan peniaga kecil di Ketereh.

“Yang Berhormat (Teresa) sudah berapa kali sampai ke Ketereh, jika belum pernah jangan merendah-rendahkan penduduk Ketereh.

“Nanti saya belikan tiket kapal terbang supaya Yang Berhormat boleh pergi ke sana jika belum pernah sampai ke Ketereh. Yang Berhormat boleh bercuti ke Ketereh saya akan belanja tiada masalah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, tujuan utama kementeriannya memperkenalkan Program Wilayah Berniaga adalah bagi membantu warga Wilayah Persekutuan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Annuar berkata ia bukan bermaksud penjaja boleh berniaga di mana-mana sahaja tanpa sebarang kawalan langsung, jauh sama sekali hendak menjadikan Kuala Lumpur seperti Ketereh seperti didakwa Ahli Parlimen Seputeh.

“Dalam banyak hal lain, Ketereh sebenarnya lebih baik dari Seputeh, di mana wakil rakyatnya sentiasa mesra kepada penjaja kecil dan cakna dengan kesusahan rakyat. Wakil rakyat Ketereh tak pernah minta rakyat minum sesusdu sawit setiap hari.

“Bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan baik dan teratur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) telah mengeluarkan garis panduan mengenai tatacara mudah yang perlu dipatuhi oleh pemohon.

“Garis Panduan ini juga diselaraskan dengan peraturan dan undang-undang kecil DBKL, PPj dan PL yang sedia ada. Selain itu, SOP berkuatkuasa berkenaan Covid-19 seperti penjarakan sosial juga hendaklah dipatuhi,” katanya.

Dalam perkembang lain, Annuar berkata kerajaan melalui KWP merancang untuk membina lebih 80,000 unit rumah mampu milik mulai 2019 hingga 2028.

Annuar berkata sehingga November 2020, sebanyak 58,499 unit rumah mampu milik di 94 projek Residesi Wilayah sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan termasuk di 54,479 unit sekitar Kuala Lumpur; Putrajaya (2,908 unit) dan Labuan (1,112 unit).

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 16,079 unit rumah iaitu 27 projek telah siap dibina dan 26,684 unit rumah iaitu 35 projek masih dalam pembinaan manakala yang lainnya masih dalam peringkat perancangan.

“Terkini KWP memberi keutamaan kepada Program Residensi Prihatin iaitu unit rumah yang berharga RM200 ribu ke bawah untuk golongan berpendapatan rendah B40. Sebanyak 10,000 unit Residensi Prihatin disasarkan dalam tempoh 3 tahun (2021 hingga 2024).

“Program perumahan mampu milik turut dilaksanakan di Labuan dan sehingga tahun 2020 sebanyak 1,112 unit (3 projek) Residensi Wilayah telah siap,” katanya .

Get real time updates directly on you device, subscribe now.