970 kes baru, N. Sembilan pula tertinggi

783

25 NOV: Selepas mencatatkan angka harian tertinggi semalam dengan lebih 2,000 penularan, kes baru COVID-19 hari ini turun kepada tiga angka dengan 970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tertinggi hari ini pula dilaporkan di Negeri Sembilan iaitu sebanyak 318 kes.

Katanya, ini diikuti dengan negeri Sabah sebanyak 293 kes manakala Selangor mencatatkan 115 kes.

“Peningkatan kes di Negeri Sembilan banyak dipengaruhi oleh kes dari kluster berkaitan penjara iaitu Kluster Bakti yang melaporkan 301 kes.

“Keseluruhannya, sebanyak 59,817 kes positif dilaporkan setakat ini dengan 12,971 adalah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

“Setakat ini, 110 individu positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 47 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak empat lagi kes kematian dilaporkan hari ini dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah 345 kes.

Katanya, satu daripada kes tersebut dilaporkan di Hospital Pulau Pinang manakala tiga lagi di Sabah.

“Dua bukan warganegara dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sandakan manakala kes keempat juga melibatkan pesakit bukan warganera dan individu tersebut meninggal dunia di Hospital Labuan,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan kes sembuh daripada COVOD-19 mencatatkan rekod tertinggi dengan 2,348 kes.

Katanya, lima daripada 970 penularan hari ini adalah kes import melibatkan ketibaan individu dari beberapa negara termasuk dua dari Romania.

“Selebihnya satu dari Indonesia, satu dari Pakistan dan satu dari Qatar,” ujarnya.

Turut melaporkan kes hari ini ialah Perak dengan 80 kes, Kuala Lumpur (44), Labuan (37), Johor (30), Kedah (24), Kelantan (8), Pahang (2), Sarawak (2) dan masing-masing satu kes di Putrajaya, Terengganu dan Melaka.

Perlis satu-satunya negari yang tidak mencatatkan kes baru COVID-19. -OLeh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.