Tindakan tegas 476 kes pencerobohan nelayan asing

110

24 NOV: Sebanyak 476 kes telah diambil tindakan tegas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Perikanan (Pindaan) 2019 dalam memastikan perairan negara sentiasa terlindung daripada sebarang aktiviti yang dilakukan oleh bot nelayan asing.

Justeru, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berharap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat melaksanakan pindaan undang-undang bagi memastikan wilayah perairan negara dapat diperketatkan dan tindakan lebih tegas boleh diambil terhadap nalayan-nelayan asing.

“Memang sedar bahawa aset-aset kita di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ini perlu dipertingkatkan dari segi keupayaan untuk menguatkuasakan perairan negara kita terutamanya keselamatan nelayan-nelayan dan memang selama ini kita gunakan Akta Perikanan di bawah zon maritim Malaysia.

“Setakat ini telah membuat sejumlah 476 kes telah disiasat di bawah Akta Perikanan pindaan 2019 dan kita sangat mengalu-alukan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk membuat pindaan supaya undang-undang ini dapat kita perketatkan dan mengambil tindakan tegas terhadap nelayan asing,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ISMAIL MOHAMED SAID

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tentang sejauh mana Akta Perikanan Pindaan 2019 dapat memberi kesan pencegahan terhadap peningkatan kes-kes pencerobohan tersebut.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Nik Mohamad tentang status terkini pembinaan tiga kapal induk Maritim Malaysia yang akan digunakan bagi meningkatkan pengoperasian di perairan negara dalam usaha mencegah aktiviti pencerobohan bot nelayan asing, Ismail memberitahu pembinaannya dalam pelaksanaan dan dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, sehingga Oktober 2020, tahap pembinaan ketiga-tiga kapal keseluruhannya mencapai pada tahun 70.9 peratus.

“Penyerahan ketiga-tiga kapal akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada tahun 2021 dan insya-Allah akan selesaikan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.