Talian 999 untuk jenayah alam sekitar

99

24 NOV: Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan penggunaan talian kecemasan ‘999’ bagi memudahkan orang ramai membuat aduan dan menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah alam sekitar, pada masa depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya menyambut baik cadangan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan aduan berkaitan jenayah pencemaran alam sekitar dapat disalurkan melalui 999.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, berkata ketika ini talian 999 adalah kemudahan untuk mendapatkan bantuan terutama melibatkan keselamatan nyawa.

“Buat masa ini, sistem bersepadu ini hanya menggabungkan perkhidmatan kecemasan bagi 5 agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Untuk makluman, JAS telah mempunyai sistem pengurusan aduan kecemasan yang boleh menggerakkan pejabat JAS Negeri (24 jam 7 hari seminggu) di seluruh negara melalui hotline JAS di 1-800-88-2727,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, sebentar tadi .

Berikutan itu, Tuan Ibrahim menyifatkan cadangan supaya aduan berkaitan jenayah pencemaran alam sekitar untuk juga disalurkan melalui talian 999 adalah satu cadangan yang baik.

“Di mana sekiranya kedua-dua sistem ini dapat diintegrasikan ia akan membolehkan laporan kes kecemasan jenayah alam sekitar yang diterima diurus dengan cekap dan tindakan serta merta di lapangan dapat digerakkan.

“Justeru itu, Kementerian telah mengambil tindakan dan perbincangan awal telah dilakukan dengan pihak berkaitan berkenaan perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya juga sudah menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar bagi memperkasakan lagi penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Beliau berkata penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar ini adalah bertujuan bagi mencegah, membanteras dan membendung kes-kes pencemaran alam sekitar.

“Dalam mencari solusi dan pendekatan yang terbaik di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, KASA akan terus menyelaras dan membincangkan penambahbaikan untuk memantapkan pengurusan alam sekitar negara dalam Mesyuarat MEXCOE (Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab mengenai Alam Sekitar) yang diadakan sebanyak dua kali setahun,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.