Menteri, timb menteri BN buat ketetapan baharu

650

24 NOV: Kesemua 11 anggota Kabinet Barisan Nasional (BN) bersetuju agar kerajaan yang telah dibentuk secara muafakat ketika ini terus didukung termasuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Menerusi kenyataan bersama sembilan timbalan menteri BN itu, mereka turut percaya rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Dalam kenyataan itu, mereka berkata, pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan negatif kepada keadaan ekonomi rakyat dan negara, justeru memerlukan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara teratur dan tersusun.

“Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ini juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

“Anggota pentadbiran dari Barisan Nasional (yang merupakan Ahli Dewan Rakyat) mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021. Cadangan dan pandangan ini akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, untuk memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu, mereka berpendapat Pilihan Raya Umum diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperolehi mandat rakyat yang jelas.

“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam kerajaan.

“Dalam hal ini, suatu mesyuarat yang telah diadakan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam telah memutuskan agar ahli Jemaah Menteri dari BN mengadakan perjumpaan dan bermesyuarat secara lebih kerap bersama Pengerusi BN bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada Jemaah Menteri,” jelasnya.

Kenyataan bersama 20 anggota pentadbiran kerajaan dari BN itu terdiri daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Datuk Seri M. Saravanan, Datuk Dr. Noraini Ahmad, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Turut sama sembilan timbalan menteri BN, Datuk Seri Dr. Hj. Ismail Mohamed Said, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib, Mohd Shahar Abdullah, Datin Mastura Mohd Yazid, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Arthur Joseph Kurup dan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.