Makin berani, ketua sindiket penyeludupan diburu – IGP

549

24 NOV: Tembakan ke arah pasukan keselamatan yang mengorbankan seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) awal pagi ini menunjukkan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand semakin agresif dan berani.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, malah insiden berbalas tembakan antara anggota PGA dan kumpulan penyeludup yang dilaporkan pada jam kira-kira 3 pagi itu adalah yang pertama kali berlaku.

Sebelum ini anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand sebelum ini hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.

Bagaimanapun, katanya, dua kejadian itu yang berlaku pada 12 dan 15 November lalu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada anggota PGA dan tembakan itu dipercayai dilepaskan secara rambang.

“Kejadian pagi ini menunjukkan kumpulan penyeludup semakin agresif dan berani menyerang anggota PGA yang sedang bertugas di sempadan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid petang tadi turut meninjau lokasi kejadian di sempadan Perlis-Thailand itu.

Menurut Abdul Hamid, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman ada mengadakan mesyuarat bagi mengumpul maklumat mengenai lorong tikus di kawasan sempadan dan satu daripadanya yang dikenal pasti adalah di lokasi kejadian.

“Kita ada menerima maklumat memaklumkan akan ada aktiviti penyeludupan dilakukan di lokasi berkenaan antara dua atau tiga hari sebelum kejadian, justeru dua anggota PGA terbabit melakukan tinjauan dan mengumpul maklumat di lokasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata kegiatan penyeludupan di lokasi itu membabitkan kemasukan penyeludup dari Thailand yang menceroboh sempadan negara di lokasi berkenaan untuk mengambil barang seludup termasuk daun ketum dan ubat batuk.

Tembak PGA

Katanya, polis sudah mengenal pasti tujuh sindiket mendalangi kegiatan penyeludupan yang menggunakan lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis sebagai lokasi transaksi penyeludupan.

Tegas beliau, ketua dan anggota sindiket terbabit sudah dikenal pasti dan usaha memburu mereka sedang dilakukan.

“Satu sindiket dikenal pasti ini dipercayai terbabit menyediakan tujuh guni daun ketum dan sejumlah ubat batuk untuk diseludup melalui lorong tikus di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar awal pagi tadi.

“Sindiket penyeludup menggunakan lorong tikus di pos sempadan itu untuk mengambil guni ketum dan ubat batuk itu sebelum terserempak dengan dua anggota PGA yang sedang membuat tinjauan,” katanya.

Katanya, sindiket penyeludupan antara dua negara ini mengamalkan sistem ‘barter trade’ yang mana sindiket tempatan hanya perlu membekalkan daun ketum dan ubat batuk.

“Sindiket negara jiran pula akan membekalkan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, pil yaba dan heroin kepada sindiket tempatan.

“Urus niaga yang dilakukan tidak membabitkan sebarang wang tunai, hanya pertukaran barang kerana daun ketum boleh dikatakan agak berharga di negara jiran,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata, seramai 13 suspek yang terdiri daripada tujuh kumpulan penyeludup itu sudah diberkas dalam satu operasi hari ini.

“Tiga daripada 13 suspek yang diberkas mengaku terbabit dalam insiden berbalas tembakan pagi tadi. Usaha memburu ahli sindiket yang lain masih giat dijalankan,” katanya.

Tembak PGA

Beliau juga berkata, risikan mendapati sindiket penyeludupan Thailand akan memanjat tembok sempadan menggunakan tangga untuk membawa masuk guni berisi ketum dan ubat batuk ke negara mereka.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tiga das tembakan pada kanan perut dan rusuk belakang.

Mengulas lanjut mengenai insiden pagi tadi, Abdul Hamid berkata, dua anggota PGA berkenaan sedang menjalankan tugas pemantauan dan risikan di lokasi terbabit sejak jam 9 malam.

“Kedua-dua mereka menaiki sebuah motosikal sebelum sampai ke lokasi dengan berjalan kali melalui laluan denai di situ dan terserempak dengan sekumpulan penyeludup sedang memindahkan bungkusan daun ketum dan ubat batuk.

“Kita percaya kedua-dua pihak terkejut dan berlaku insiden tembak menembak di antara kedua-dua pihak,” katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Tembak PGA

Terdahulu, enam daripada 13 individu yang disyaki mendalangi serangan bersenjata api terhadap dua anggota PGA berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, dilaporkan berkata, dua daripada suspek ditahan oleh pasukan keselamatan Malaysia dan empat lagi ditahan pihak berkuasa Thailand.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi, manakala usaha memburu baki tujuh lagi anggota kumpulan penyerang itu sedang dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.