Majikan terima PSU, tapi tak salur kepada pekerja

70

24 NOV: Kerajaan menerima aduan mengenai segelintir majikan yang tidak menyalurkan subsidi di bawah Program Subsidi Upah (PSU) kepada pekerja mereka seperti mana syarat dan undang-undang yang telah ditetapkan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bantuan rangsangan ekonomi tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan serta menganiaya pekerja mereka.

“Kementerian memahami dan sentiasa ambil langkah positif cari jalan terbaik bagi membantu walaupun setakat ini kami terikat pada akta sedia ada.

“Namun, ada syarikat ambil kesempatan walau terima subsidi tetapi tak salur kepada pekerja masing-masing.

“Syarikat-syarikat ini kita telah kenal pasti dan akan disenarai hitamkan dan ada juga syarikat dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) kementeriannya kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Program Subsidi Upah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Saravanan memberitahu, PSU dilaksanakan bagi membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

“PSU melalui pelbagai pakej rangsangan memberi dana besar hampir RM18 bilion untuk pelihara kesejahteraan pekerja dan majikan. Mulanya dilaksanakan RM600 sebulan pada April lalu namun mengambil pandangan pelbagai pihak, buat penambah baikan berdasarkan saiz perusahaan di antara RM600 ke RM1000.

“Pada 5 Jun dilanjutkan tempoh tiga bulan iaitu Julai sehingga September namun ketidak ketentuan ini merencatkan ekonomi dan pada 23 September kerajaan sekali lagi umum pakej rangsangan iaitu Pakej Kita Prihatin yang membawa pelaksanaan PSU 2.0 dengan dana sebanyak RM2.4 billion. PSU 2.0 ini dilanjutkan untuk tiga bulan lagi mulai Oktober sehingga Disember tahun ini,”katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.