Kuarantin: Jeffrey dapat pelepasan, gelang dipotong

156

24 NOV: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan Ahli Parlimen STAR Keningau, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan telah mendapat perintah pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam bagi membolehkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata mengikut makluman yang diterima, Jeffrey mula dikuarantin pada 12 November lalu dan telah pun disahkan bebas COVID-19 manakala gelang kuarantin beliau dipotong di Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, semalam.

“Pagi tadi saya terima satu pemberitahuan mengenai Yang Berhormat tersebut, saya difahamkan bahawa beliau telah memaklumkan bahawa Yang Berhormat Keningau telah mendapat perintah pelepasan dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada 23 November 2020

“Dan juga gelang telah dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai pada 23 November 2020 selepas menjalani kuarantin dan ujian serta keputusannya. Kuarantinnya seperti yang saya dapat pada 12 November sehingga pelepasan tersebut pada 23 November,” katanya.

Azhar berkata demikian sebelum sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar oleh Kementerian Pengangkutan bermula dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Keputusan itu menyebabkan pembangkang khususnya Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah seperti Datuk Mohd Azis Jamman yang tidak berpuas hati kerana berpandangan Jeffrey tidak sepatutnya berada di dalam Dewan.

Namun, Azhar menyatakan beliau hanya bertindak mengikuti saranan yang diberikan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan isu yang sedang dihadapi dengan sebaik-baiknya.

“Saya bertindak mengikut KKM dan MKN, saya tidak mempunyai kuasa untuk memantau semua Aahli-ahli parlimen. Jadi, (jika) inginkan saya memerika dengan lebih lanjut, maka saya perlu masa.

“Saya ikut apa perintah pelepasan, saya tak adalah pula saya telefon untuk mempersoalkan perintah pelepasan, saya cuma ikut apa KKM dan apa yang MKN beri pada saya. Kalau begitu, izinkan saya sedikit masa untuk menghubungi Pejabat Daerah Lembah Pantai yang potong gelang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Pembangkang dilihat masih tidak berpuas hati dan cuba membuat kecoh agar petua dikeluarkan oleh Azhar agar tidak membenarkan Ahli Parlimen Keningau berada di Parlimen dan Azhar memaklumkan bahawa beliau telah melaksanakan perkara itu.

“Saya dah minta Yang Berhormat (Keningau) tidak menghadiri dari tadi. Saya akan hubungi, jangan panjangkan lagi saya akan hubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat.

“Saya tak boleh pantau setiap orang. Saya bertindak mengikut apa saya dapat tapi kalau diperlukan saya maklumat selanjutnya beri saya masa saya akan menghubungi (Pejabat Kesihatan Lembah Pantai),” katanya.

Terdahulu, pembangkang cuba membangkitkan perkara tersebut sebelum sesi penggulungan Kementerian Pendidikan apabila mempersoalkan kehadiran Jeffery dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi.

Namun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang ketika itu mempengerusikan Dewan Rakyat kemudian meminta masa untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai Parlimen mengenai perkara itu.

Beliau turut memaklumkan, petua mengenai isu tersebut akan diputuskan oleh Azhar. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.