Doula hanya peneman wanita bersalin, bukan bidan

155

24 NOV: Doula hanya berperanan sebagi peneman kepada wanita hamil sehingga selamat melahirkan anak dan berpantang dan bukannya berfungsi sebagai penasihat atau jururawat perbidanan memberikan khidmat perubatan.

Sebaliknya, mereka hanya membantu wanita hamil dan selepas bersalin mengharungi cabaran menjaga bayi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tugas mereka hanya terbatas kepada memberikan sokongan kepada wanita bersalin dari aspek mental dan fizikal serta emosi sahaja.

adham baba
DR ADHAM BABA

“Di Malaysia doula adalah tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan, latihan serta perkhidmatan diberikan juga tidak jelas. Sekiranya mereka ingin memberikan perkhidmatan sebagai peneman mereka harus menjalani latihan, mempunyai garis panduan dan polisi harus dipatuhi.

“Seseorang doula dilarang memberikan khidmat perubatan atau nasihat berkaitan pro nature building atau gentle building. Kumpulan doula atau bidan bukanlah jururawat perbidanan kerana mereka tidak berdaftar di bawah Akta Bidan 1966 atau Akta 436.

“Seksyen 14(1) Akta Bidan 1966 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamalkan perbidanan tanpa pendaftaran adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau keduanya jika sabitkan kesalahan,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang memminta Menteri Kesihatan menyatakan pelan kementerian untuk mengawal trend kelahiran menggunakan khidmat doula di Malaysia untuk memastikan tiada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat dan juga kematian ibu atau anak yang dapat dielakkan.

Berikutan itu, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kadar kelahiran selamat.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, antara inisiatif diambil KKM adalah dengan mengedarkan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bagi langkah-langkah bagi mempertingkatkan usaha untuk mengurangkan kadar kelahiran tidak selamat bertarikh, 13 Mac 2014.

“Bagi kes berisiko rendah dan memilih untuk bersalin di rumah semua anggota terbabit diarah untuk mengikut garis panduan penggendalikan ibu hamil berdasarkan sistem kod warna dan penjagaan kesihatan ibu serta bayi KKM.

“Kehadiran anggota kesihatan yang terlatih adalah diperlukan untuk kelahiran di rumah termasuk untuk kes risiko rendah, sekali gus membolehkan mereka segera bertindak memberikan bantuan kecemasan jika terdapat sebarang komplikasi yang timbul ke atas bayi dan ibunya semasa atau selepas kelahiran,” katanya.

Beliau berkata sejak 2012 Kumpulan dikenali sebagai Mother Friendly Care telah dimasukkan dalam inisiatif Hospital Rakan Bayi yang mempunyai elemen menggalakan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberikan sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan anak. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.