AS beli produk kayu Malaysia RM5.1 bilion

3,798

24 NOV: Eksport kayu utama dan produk kayu tempatan mencatatkan perubahan positif selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan jumlah pembelian sebanyak 53 peratus berjumlah RM5.1 bilion bagi tempoh Januari hingga September lalu.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata walaupun perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China namun ia memberi kesan dengan peningkatan permintaan daripada AS terhadap produk perabot negara.

Menurut beliau, dari segi negara pasaran eksport, pasaran utama kayu dan produk kayu Malaysia menunjukkan peningkatan positif ialah Amerika Syarikat (AS) dan China dengan kedua-dua negara ini mewakili 43 peratus pasaran eksport Malaysia.

“Manakala China mencatatkan kenaikan nilai eksport sebanyak 31 peratus kepada RM1.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 disebabkan republik berkenaan telah memasuki fasa pemulihan berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, pasaran kedua terbesar negara iaitu Jepun telah mengalami penurunan sebanyak 22 peratus kepada RM2 bilion. Situasi ini didorong oleh penurunan eksport papan lapis ke negara berkenaan.

“Manakala pasaran keempat dan kelima terbesar iaitu Australia dan Singapura, masing-masing mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM633 juta dan RM574 juta iaitu penurunan sebanyak 17 peratus dan 29 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin memberitahu, prestasi eksport bagi produk utama bernilai tambah tinggi seperti perabot kayu, tanggam dan kayu kumai secara keseluruhannya merekodkan peningkatan lapan peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM8.4 bilion berbanding RM7.8 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Tambah beliau, bagi prestasi eksport produk primer utama seperti papan lapis dan kayu gergaji secara keseluruhannya merekodkan penurunan 24 peratus dengan jumlah eksport sebanyak RM3.92 bilion berbanding RM5.18 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Secara keseluruhannya, walaupun negara dan pasaran global sedang berdepan dengan situasi yang sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19, prestasi eksport semasa ini menunjukkan industri kayu negara berada pada fasa pemulihan dan masih berdaya saing.

“Kementerian berkeyakinan prestasi perdagangan ini akan kembali positif pada hujung tahun ini. Aktiviti perdagangan juga diharapkan dapat dijalankan dengan lebih rancak pada tahun hadapan sebaik pandemik ini berakhir bagi meningkatkan semula prestasi eksport produk perkayuan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.