Anggota PGA maut ditembak, rakan setugas parah

203

24 NOV: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dipercayai akibat ditembak awal pagi tadi.

Mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas semasa insiden tersebut berlaku kira-kira jam 3.10 pagi.

Seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang bertugas bersama mendiang dilaporkan cedera parah dan dalam keadaan kritikal.

Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk tindakan selanjutnya.

Kejadian itu disahkan oleh Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji.

Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam perjalanan ke Perlis untuk melawat mangsa dan meninjau situasi semasa di sana.

Berdasarkan perkembangan terkini, sumber berkata, serangan itu dipercayai dilakukan oleh sindiket penyeludupan yang bertindak balas apabila kegiatan mereka sukar dilakukan ekoran kawalan lebih ketat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Difahamkan, sindiket itu dipercayai turut melepaskan tembakan ke arah anggota PGA yang melakukan rondaan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 13 November lalu.

“Kes (tembakan) ini ada kaitan kumpulan penyeludup, ada yang tidak puas hati kita (pasukan keselamatan) ketatkan kawalan dan rondaan di sempadan.

“Dalam kes dua anggota sedang berkawal ketika diserang, ada anggota lain dengar bunyi tembakan,” katanya seperti dipetik daripada laporan BH Online.

Sumber itu menambah, anggota yang sedang melakukan kawalan di pos sempadan dipercayai diserang dari arah negara jiran oleh anggota sindiket sebelum dia melarikan diri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.