329 individu ditahan, ramai tak pakai pelitup muka

57

24 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 329 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 311 individu telah dikompaun manakala lima orang direman dan 13 orang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (131), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri / daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (51),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ismail sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong serta merampas 13 kenderaan darat.

Ismail Sabri menambah, sebanyak 261 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan 195 SJR di bawah Op Penawar yang dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Rela.

“Bagi Op Benteng, sebanyak 57 SJR dilakukan oleh PDRM manakala sembilan SJR di bawah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” jelasnya.

Beliau berkata, sebanyak 11,822 operasi sanitasi awam dijalankan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu dengan merangkumi 137 zon.

“Sebanyak 14,031 premis yang disanitasi terdiri daripada 2,854 pusat perniagaan, 1,656 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,758 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,406 bangunan kerajaan,” katanya.

Selain itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melakukan 895 pemeriksaan khas dan mendapati kesemua premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.