2,188 kes baru, tertinggi pernah dilaporkan

782

24 NOV: Sebanyak 2,188 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini yang merupakan angka harian tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak itu mula dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa sama kes sembuh yang dicatatkan hari ini juga paling tinggi iaitu 1,673.

Menurut beliau, kes baru COVID-19 paling tinggi dilaporkan hari ini ialah di Selangor dengan 1,623 kes atau bersamaan 74.2 peratus daripada keseluruhan kes positif baru.

Sebahagian besar daripada kes baru berkenaan adalah dari Kluster Teratai dengan 1,511 kes yang melibatkan pekerja di sebuah kilang sarung tangan getah di daerah Klang.

“Negeri lain yang mencatatkan empat kes tertinggi hari ini ialah Sabah 232, Perak 112, Kuala Lumpur, 90 dan Negeri Sembilan, 73.

“Keseluruhannya, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 58,847 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,353 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 112 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 49 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 341 kes.

“Satu kes kematian dilaporkan di Hospital Pulau Pinang manakala tiga lagi di Sabah iaitu dua di Hospital Lahad Datu manakala satu di Hospital Tawau,” jelasnya.

Menurut Noor Hisham, hari ini menyaksikan tiada kes import COVID-19 dilaporkan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.