2 kumpulan penyeludup suspek tembak anggota PGA

209

24 NOV: Dua kumpulan yang dianggotai warga asing dan rakyat tempatan dipercayai terlibat dalam insiden berbalas tembakan di tembok sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar, Perlis awal pagi tadi yang menyebabkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala seorang lagi cedera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan awal mendapati insiden bermula apabila dua anggota PGA terbabit melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian.

Menurut beliau, mereka diserang kira-kira jam 3 pagi oleh dua kumpulan yang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

HAMZAH ZAINUDIN
HAMZAH ZAINUDIN

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mangsa yang terbunuh ialah Koperal Baharuddin Ramli, 54, manakala Koperal Norihan Tari, 39, dilaporkan cedera parah dan dalam keadaan kritikal.

Mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk tindakan selanjutnya.

Hamzah dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.