Usaha berterusan tangkap Jho Low

68

23 NOV: Polis Antarabangsa (Interpol) sudah mengeluarkan waran tangkap dan Notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu adalah sebahagian daripada tindakan berterusan kerajaan untuk mendapatkan kembali wang yang dilesapkan oleh Jho Low.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut melaksanakan pertuduhan secara ‘in absentia’ (tanpa hadir) terhadap Jho Low di atas pelbagai pertuduhan.

Setiausaha Agung PAS berkenaan berkata ini termasuklah 13 pertuduhan di bawah subseksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

“Selain itu, Jho Low juga dituduh dengan empat pertuduhan di bawah subseksyen 370(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 671] dibaca bersama perenggan 179(c) Akta terbabit.

“Beliau juga dituduh dengan satu pertuduhan masing-masing di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dibaca bersama subseksyen 23(1) dan 24(1) akta terbabit,” katanya dalam teks ucapan penggulungan ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang dimuat naik ke portal Parlimen Malaysia, sebentar tadi.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Puchong, Gobind Singh Deo yang memohon penjelasan kerajaan berhubung dengan tindakan yang diambil untuk mendapatkan kembali wang yang dilesapkan oleh Jho Low dan apakah usaha yang diambil bagi memastikan beliau dibawa balik ke Malaysia dan mengambil tindakan sekiranya terdapat kesalahan.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga menafikan dakwaan Gobind kononnya terdapat pengurungan sebanyak 37 peratus ke atas peruntukan disalurkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), pada tahun depan berbanding diluluskan PH sebelum ini.

Takiyuddin menjelaskan kedudukan Bajet AGC pada tahun 2021 secara keseluruhannya seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) tidak mencatatkan sebarang angka penurunan.

“Sebaliknya, angka yang disyorkan MoF iaitu RM178,000,000.00 adalah 0.6% lebih tinggi daripada angka tahun 2020 iaitu RM176,935,000.00 dan 15.3% lebih tinggi berbanding batas perbelanjaan yang diberikan oleh pihak MoF kepada AGC sebelum ini, iaitu RM153,933,000.00,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.