RM15 juta pembangunan Kompleks Jeti Penumpang Pangkor

119

23 NOV: Kerajaan telah memperuntukan RM15 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi kerja-kerja menaik taraf serta membangunkan semula Kompleks Jeti Penumpang di Pulau Pangkor yang dapat mengurangkan kesesakan pengunjung khususnya pada hari cuti umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan ini diberikan selepas Pulau Pangkor diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai oleh Kerajaan Pakatan Harapan dahulu dan kerajaan hari ini masih meneruskan perkara ini yang dapat membantu ekonomi penduduk.

“Masa depan Pangkor amat baik sekali. Jadi, untuk makluman Yang Berhormat di bawah RMK12 telah diluluskan RM15 juta untuk mereka bentuk dan kerja-kerja awal, kerja naik taraf membesar dan membangungkan semula kompleks jeti di Pulau Pangkor.

“Pada tahun hadapan, RM7 juta telah diperuntukan ini untuk mereka bentuk dan kerja-kerja awalan merangkumi jeti utama penumpang dan kargo di Pangkor,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bersatu Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tentang apakah status permohonan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor; dan status permohonan pemendekkan tempoh duty free Pulau Pangkor dari 48 jam ke 24 jam.

Menjawab berkenaan jika status pemendekan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor dari 48 ke 24 jam, Musapa berkata perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana jika ia diluluskan, kerajaan turut perlu memberi layanan yang sama rata kepada tiga pulau bebas cukai yang lain iaitu Pulau Langkawi, Labuan dan Pulau Tioman

“Untuk makluman, tempoh 48 jam yang ditetapkan untuk membolehkan faedah lain lebih kepada pengusaha lain termasuk restoran dan penginapan lain. Jika dipendekan 24 jam, limpahan ekonomi itu tidak sebesar sekiranya pelancong tinggal dua hari.

“Mesyuarat pihak berkuasa koridor utama pada 16 November yang dihadiri oleh Yang Berhormat Tambun juga. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Faizal yang menyatakan jika kerajaan bercdang untuk meluluskan tempat pendaratan sah di Jeti Sungai Pinang Kecil bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat agar tidak bertembung dengan pelancong, Mustapa memberitahu kajian secara teliti akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Cadangan Tambun sudah dibangkitkan, pandangan awal telah dimaklumkan dan mengikut pihak Kastam ia akan menimbulkan masalah kawalan khususnya penyeludupan. Apapun kita cukup faham jeti hari-hari sesak dengan penumpang khususnya hari cuti umum

“Oleh demikian, ada keperluan untuk mengkaji perkara ini secara keseluruhan dan Insyallah, akan bincang dengan kerajaan negeri Perak bagaimana kita boleh lihat semula keputusan yang dibuatkan oleh Kastam. Dua perkara yang diperlukan, kelulusan daripada Jabatan Kastam.

“Dan kedua mungkin memerlukan sedikit peruntukan tambahan untuk membaiki jeti yang mungkin sudah lama ditinggalkan yang kita akan lihat semula dan akan merujuk kepada Kementerian Kewangan,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.