PKPB: Restoran, kedai boleh buka sampai 12 tengah malam

2,933

23 NOV: Restoran, kedai makan dan semua premis perniagaan termasuk kedai serbaneka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah meneliti permohonan pihak terlibat, sidang khas Majlis Keselamtan Negara (MKN) yang bermesyuarat hari ini bersetuju meluluskan perkara itu.

ismail sabri

“Kita banyak dapat aduan daripada persatuan pemilik restoran, kedai makan mengenai waktu operasi yang mana jam 10 malam banyak memberi kesan kepada bisnes mereka.

“Ini terutama premis makanan orang Islam yang mana masyarakat kita biasanya lepas waktu Isyak baru keluar makan, tetapi jam 10 malam sudah kena tutup. Netizen pun membuat aduan serupa.

“Kesannya memang besar pada peniagaan, saya akui. Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membincangkan perkara ini dan kita bersetuju benarkan perniagaan dibuka sehingga jam 12 tengah malam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambah Ismail Sabri, waktu operasi perniagaan sehingga jam 12 tengah malam ini bukan hanya melibatkan premis makanan tetapi juga untuk semua jenis aktiviti perniagaan.

“Kedai runcit, kedai serbaneka, stesen minyak dan lain-lain perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

“Keputusan ini bermula segera, esok,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Seremban, Negeri Sembilan, dan kuarters penjara itu, bermula esok hingga 7 Disember depan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan 246 ujian saringan bersasar, dengan 25 kes positif COVID-19 direkodkan di penjara itu.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Seremban serta Kuarters Penjara Seremban, selama 14 hari bermula esok hingga 7 Disember ini.

“Pelaksanaan PKPD meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban, termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang membabitkan 2,080 orang,” katanya pada sidang media, hari ini.-Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.