Pengambilalihan lebuh raya, belanjawan jadi tumpuan

44

23 NOV: Isu berkaitan rundingan semula pengambilalihan konsesi lebuh raya di negara ini oleh pihak kerajaan dengan syarikat konsesi antara perkara dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat yang bersambung hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan diajukan oleh Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Menteri Kanan Kerja Raya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bersatu-Tampin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta Perdana Menteri menjelaskan status permohonan projek naik taraf jeti penumpang Pulau Pangkor serta perkembangan mengenai permohonan pemendekkan tempoh bebas cukai Pulau Pangkor dari 48 jam ke 24 jam.

Ahli Parlimen PH Kuantan, Fuziah Salleh pula memohon penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkaitan status kerjasama kementerian itu dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani isu gejala asap rokok sekunder atau ‘Secondhand Smoke’ dalam kalangan ibu bapa.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 diteruskan untuk hari yang kesembilan sebelum penggulungan oleh menteri berkenaan.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.