Maybank lanjut tempoh mohon bantuan bersasar

97

23 N0V: Maybank melanjutkan tempoh permohonan bantuan pembayaran balik untuk pinjaman atau pembiayaan sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Maybank dalam satu kenyataan, berkata pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan masih boleh menghubungi bank untuk berbincang tentang pakej bantuan pembayaran balik yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan kewangan semasa.

Ia sebagai usahanya meneruskan penyediaan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

“Memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih berterusan, keutamaan Maybank pada masa ini adalah untuk memastikan bahawa pelanggan yang masih menghadapi kesukaran mempunyai akses kepada bantuan pembiayaan untuk menolong mereka mengatasi cabaran ini,” katanya.

Maybank berkata, sehingga kini pihaknya telah memproses lebih 90,000 permohonan bantuan pembayaran balik yang diterima daripada pelanggan dan telah meluluskan semua permohonan yang layak.

“Hampir 45 peratus dari permohonan yang diluluskan ini telah diberikan penangguhan pembayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan mereka.

“Untuk melengkapkan pakej bantuan pembayaran balik yang sedia ada, Maybank juga akan menawarkan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) kepada pelanggan individu B40 dan perusahaan mikro yang layak mulai hari ini hingga 30 Jun 2021,” katanya.

Maybank menjelaskan, kriteria kelayakan TRA adalah seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021 dan Bank Negara Malaysia pada 6 November lalu.

“Kriterianya adalah individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Bagi perusahaan mikro dengan jumlah kelulusan pinjaman atau pembiayaan sehingga RM150,000 bagi setiap kemudahan pula perlu memenuhi salah satu kriteria iaitu perolehan jualan kurang daripada RM300,000 setahun atau mempunyai kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.

“Bagi memenuhi kriteria kelayakan TRA, pinjaman atau pembiayaan pelanggan juga mesti diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan.

“Pelanggan yang memohon TRA boleh memilih antara penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan untuk pinjaman/pembiayaan mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.