Masa disingkat, kalau tak ikut KKM nak ikut siapa lagi?

259

KALAU bab gimik ‘publisiti murahan’, ahli-ahli Parlimen pembangkang kita memang handal. Ada sahajalah yang mereka terfikir untuk raih perhatian.

Contohnya yang berlaku hari ini apabila secara tiba-tiba mereka bangkit mempersoalkan keputusan mengehadkan penggulungan menteri untuk Belanjawan 2021 kepada 20 minit.

Sedangkan perkara itu dipersetujui bersama oleh Ketua-ketua whip setiap parti hasil mesyuarat sebelum ini akibat penularan COVID-19.

Inilah yang bikin Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan geleng kepala melihat gelagat mereka.

Bahkan ini bukan kali pertama Speaker ‘terkena’, sebelum ini mengenai jumlah kehadiran ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Di manalah sikap seorang parliamenterian andai persetujuan seperti ini pun mereka boleh langgar. Janji pun tak boleh dipegang, macam mana hendak jadi pemimpin.

dewan rakyat

Sedangkan kata Azhar, mereka mempunyai ruang untuk berbincang dengan beliau soal masa yang diperuntuk kepada menteri dan bilangan ahli Parlimen.

“Saya hari Ahad pun datang pejabat, tak ada masalah. Tapi sampai malam tadi pun tiada siapa hubungi saya untuk berbincang. Semua ada nombor telefon saya. Alih-alih hari ini persoal pula dan ini bukan kali pertama.”

Tak cukup itu, Azhar terus meluahkan kekecewaannya dengan fiil ahli Parlimen pembangkang yang tidak bersuara ketika itu.

“Akhirnya, hari ini bila masuk jam 11 pagi, semua bangun dan bangkitkan perkara ini. Ini keluhan saya. Kita ada persetujuan namun tiada siapa pun hubungi saya membangkitkan perkara ini supaya kita boleh membincangkannya sebelum hari ini,” kata Azhar.

Turut ditempelak Azhar, seorang ahli Parlimen PKR yang pandai membuat ‘bising’ hari ini sedangkan sebelum ini beliau telah mengajaknya berunding.

“Sejam saya tunggu, tapi tak nampak kelibat,” katanya.

Sedar perkara itu kesilapan mereka, Ahli Parlimen PH Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengajak Azhar untuk tidak mengungkit hal yang telah lepas sebaliknya menumpukan isu 20 minit untuk menteri yang tidak mencukupi.

Taktik ‘play victim’ itu bukan asing bagi pembangkang bagi menggambarkan mereka tidak bersalah dan semua sudah masak gimik politik mereka.

Sebab itu, tidak menghairankan apabila diberikan kuasa mereka seolah tidak tahu apa nak buat.

Mengenai isu lanjutan masa untuk menteri memberi jawapan penggulungan, Parlimen telah cuba melakukan yang terbaik menerusi jawapan bertulis yang dimasukkan sebagai hansard.

Hakikatnya ini bukan soal menteri bagi kuliah. Setakat celahan ahli Parlimen PH, apalah yang sukar sangat nak diuruskan. Cuma, Parlimen ada kekangan kali ini berdasarkan permintaan KKM sendiri.

Ingatlah kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, lebih lama di Parlimen lebih berisiko dijangkiti COVID-19. Tak ikut KKM, nak ikut siapa lagi? -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.