MA63: Tiga perkara selesai, 14 lagi perlu tindakan lanjut

102

23 NOV: Tiga isu berkait rundingan hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dianggap selesai sepenuhnya dan tidak memerlukan tindakan susulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, perkara itu seperti diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 merangkumi tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, Sabah serta isu pertanian dan perhutanan di negeri sama.

Menurut beliau, baki 14 perkara diputuskan memerlukan tindakan lanjut dan berterusan untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Empat belas perkara yang telah dianggap dalam penyeleasian dan memerlukan tindakan susulan salah satunya pengedaran gas LPG negeri Sabah dan Sarawak dan penyerahan kawal selia gas dan elektrik di Sabah, pelaksanaan kerja raya Persekutuan di Sabah dan Sarawak, tenaga buruh, kuasa negeri atas isu kesihatan Sabah dan Sarawak serta obligasi kewangan di bawah senarai bersama Perlembagaan Persekutuan.

“Semakan semula pemberian hak gas, penangkapan perikanan laut dan muara, tanah diberi hak kepada Sabah dan Sarawak, kuasa perundangan mengenai alam sekitar dan pelancongan, kuasa bagi baki perundangan mengenai alam sekitar dan pelancongan.

“Selain itu, Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan mengenai perjawatan, penurunan kuasa hal mahkamah kepada Sabah dan Sarawak, bidang kuasa Hakim Besar Sabah dan Sarawak, autonomi pentadbiran mahkamah Sabah Sarawak, pengalaman penghakiman Borneo mahkamah rayuan bagi mendengar kes dituduh di Borneo. Semua ini akan diselesaikan namun belum dapat diputuskan.

“Ketiga belas, pelantikan suruhanjaya kehakiman di Borneo, dan duti stem yang dikenakan kepada instrumen penyuburan tanah ordinan Sabah dan Sarawak. Perkara ini belum selesai masa kerajaan Pakatan Harapan (PH), setelah berubah kerajaan, (perkara) tergantung di situ,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) kementeriannya kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Maximus Johnity memberitahu, beberapa jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan isu di bawah MA63 yang dipersetujui dilaksanakan sebaiknya manakala status pelaksanaan itu akan dilaporkan kepada Majlis Khas MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri.

“Walaupun banyak gantung dan belum ada tindakan susulan kerana tindakan dari segi perundangan dan COVID-19 semenjak Mac lalu maka memang banyak tergantung namun keputusan di bawah perkara-perkara ini akan diselesaikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memulakan sedikit kepada Sarawak untuk memberi (penekanan) perihal gas walaupun minyak belum dan sebahagian banyak melalui perbincangan menerusi Kementerian Kewangan dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan mencapai walaupun tidak semua tetapi seperti harga dan kos ada yang telah dibincangkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak ada keperluan untuk laporan perbincangan dibahaskan di Dewan Rakyat dan laporan akhir didedahkan kepada umum.

“Kerajaan masih mengekalkan pendirian tiada keperluan laporan akhir didedahkan kepada umum memandangkan isu kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan melibatkan perkara sensitif,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.