Lepas dimaklum mula zaman PH, Anwar terus diam

212

23 NOV: Mulanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ‘garangnya’ mempertikaikan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memindahkan perkara yang lazimnya di bawah perutukan pengurusan kepada pembangunan.

Ahli Parlimen PH-Port Dickson itu juga dengan nada mendesak meminta kerajaan memberi sebab mengapa hal itu dibenarkan berlaku yang diandaikannya bertujuan untuk memanipulasi sesuatu.

Beliau bagaimanapun seakan terdiam selepas dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang amalan itu telah bermula sejak tahun lalu iaitu dalam tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Mustapa juga dengan tenang menjelaskan yang tindakan dimulakan kerajaan PH itu tidak ada salahnya kerana ia juga mampu membantu meneruskan pembangunan di seluruh negara.

“Amalan ini dimulakan pada tahun 2019, saya tak mahu salah siapa. Keduanya, difikirkan bahawa setengah perbelanjaan ini mungkin 50-50 (ada pertindihan), ada elemen pengurusan dan ada juga elemen pembangunan.

“Umpamanya menyelenggara jalan raya yang dulunya ia diletakkan di bawah pengurusan. Ada yang berpendapat penyelenggaraan jalan raya itu penting, macam kita buat jalan raya baharu maka pendapat itu menyatakan bahawa penyelenggaraan jalan raya itu penting harus diletakkan di bawah pembangunan.

“Itu jawapan ringkas, saya tak mahu salah siapa tetapi amalan ini bermula pada tahun 2019,” katanya ketika mengulus Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) kementeriannya kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan menolak cadangan Ketua Pembangkang yang dibangkitkan semasa sesi perbahasan sebelum ini supaya peruntukan pembangunan dikurangkan bagi digunakan untuk tabung COVID-19.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan sangat penting kerana dari segi ekonomi, projek-projek pembangunan jika dibatalkan begitu sahaja akan memberikan impak negatif termasuk meningkatkan kadar pengganguran.

“Kalau diberhentikan projek ini, kontraktor tiada kerja, staf mereka akan terkesan. Kita tidak akan membangun jika kita mengikut cadangan Port Dickson,” katanya.

Dalam pada itu, menjelaskan tentang Pelan Ekonomi Strategik Kerajaan, Mustapa memberitahu pelbagai isu sederhana dan jangka pendek sedang ditangani kerajaan yang akan dibentangkan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun hadapan.

Menurut beliau, isu yang akan diberi tumpuan adalah revolusi industri keempat, ekonomi digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembangunan inklusif kemiskinan dan ekonomi hijau yang merupakan perkara strategi yang akan diselesaikan oleh kerajaan.

“Benar, projek-projek ini membantu menghubungkan kawasan dalam Malaysia kerana hubungan itu penting yang akan merangsang ekonomi negara yang Insya-Allah akan pulihkan negara.

“Ini akan meningkatkan pendapatan rakyat dan memberi peluang kepada rakyat untuk bekerja seterusnya akan merangsangkan lagi sektor lain seperti hartanah dan pelancongan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.