Cadangan lanjutkan konsesi tol Plus dikaji semula

86

23 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan kerajaan terdahulu untuk melanjutkan tempoh konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 38 tahun lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan PN tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk beban kewangan kerajaan dan kesannya kepada pengguna jalan raya serta PLUS selaku pemegang konsesi tol terbabit.

Justeru, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Bersatu Kuala Pilah berkata, kerajaan PN perlu membuat kajian secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan muktamad dibuat, kelak.

“Saya ingin memaklumkan kepada ahli Yang Berhormat bahawa perkara berkenaan sedang teliti kerana banyak perkara sensitif perlu diteliti sebelum kerajaan boleh menandatangani sebarang perjanjian baharu berkaitan dengan tol PLUS contohnya kenaikan harga dan tempoh konsesi.

“Tindakan itu perlu bagi menyeimbangkan antara beban hutang kerajaan, termasuk beban rakyat dan juga tanggungan pihak pemegang konsesi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di sesi soal jawab lisan di Parlimen sebentar tadi.

Eddin Syazlee berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Padang Terap, Datu Seri Mahdzir Khalid, yang meminta beliau menjelaskan mengenai cadangan dibuat oleh kerajaan PH pada Januari lalu yang mengumumkan konsesi tol PLUS dilanjutkan selama 38 tahun lagi mulai tahun ini sehingga 2058.

mahdzir khalid

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan kerajaan PH dianggar dapat menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi PLUS Malaysia Bhd (PLUS) selama 38 tahun lagi.

Pejabat Perdana Menteri pada ketik itu memaklumkan, penjimatan itu disebabkan kerajaan tidak akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, selepas tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2058.

Keputusan untuk mengurangkan tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya milik PLUS seawal 1 Februari ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat.

Mengenai soalan asal dikemukan oleh Mahdzir, Eddin Syazlee berkata kerajaan pada masa ini masih mengkaji dan meneliti opsyen-opsyen ke atas pengurusan lebuh raya bagi tujuan meringankan beban yang ditanggung oleh kerajaan dan pengguna lebuh raya.

“Pada masa yang sama, bebanan kewangan kepada kerajaan terhadap opsyen berkenaan juga akan dipertimbangkan dengan mengambil kira impak kepada ekonomi, keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap kerajaan serta kemampuan kewangan negara secara keseluruhannya.

“Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Bersama hala tuju industri lebuh raya bertol di Malaysia di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada pertengahan Disember nanti,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mahdzir yang mahu kementerian berkenaan menyatakan apakah kerajaan berhasrat untuk berunding kembali dengan pihak syarikat konsesi lebuh raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di negara ini kerana sebelum ini Kerajaan PH mengatakan bahawa kos yang diperlukan adalah kurang RM29 bilion.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.