Bekas Presiden Perancis dibicara cuba suap hakim

52

23 NOV: Bekas Presiden Perancis dari 2007-2012, Nicolas Sarkozy, akan dibicarakan hari ini atas pertuduhan cuba memberi suapan kepada hakim.

Sarkozy dituduh cuba menawarkan peluang kerja di Monaco kepada hakim, Gilbert Azibert sebagai balasan pertukaran maklumat sulit berhubung suatu inkuiri.

Pelaksanaan inkuiri itu dibuat selepas Sarkozy didakwa menerima bayaran secara haram daripada L’Oreal heiress Liliane Bettencourt untuk membiayai kempen pemilihan presidennya pada 2007.

Individu berprofil tinggi itu turut berdepan pertuduhan cuba mempengaruhi penyiasatan beberapa kes jenayah yang dikatakan berupaya menjejaskan kedudukan kerjaya politiknya selama berdekad lalu.

Sarkozy bagaimanapun menafikan pembabitan dalam sebarang pertuduhan sedemikian dan berulang kali dilihat cuba ‘menutup’ kes.

Sejak 2013, pasukan penyiasat melakukan risikan perbualan antara Sarkozy dan peguamnya, Thierry Herzog yang cuba menyelongkar pertuduhan mengenai pembiayaan dari Libya ketika kempen 2007.

Selepas penelitian lanjut, Sarkozy dan peguamnya didapati saling berkomunikasi menggunakan telefon pintar yang didaftar menggunakan nama palsu.

Semakan rekod menyaksikan telefon yang digunakan Sarkozy didaftar menggunakan nama Paul Bismuth.

Risikan terhadap temu bual kedua-dua individu terbabit kemudian membongkar cubaan untuk memberi suapan kepada Azibert yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Majistret Mahkamah Rayuan terkemuka bagi kes jenayah, Cour de Cassation dan maklum mengenai inkuiri Bettencourt.

Sarkozy ketika memberi maklum balas berhubung pertuduhan sedemikian sebelum ini bagaimanapun berkata: “Azibert tidak pernah dapat tawaran kerja di Monaco”.

Susulan pendedahan kes berkenaan, Sarkozy, Azibert dan Herzog berdepan pertuduhan secara bersama kerana menyalahgunakan rahsia profesional.

Sekiranya disabit bersalah, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda berat.

Sarkozy dan partinya, Les Republicains, selama beberapa tahun lalu menyifatkan siasatan yang dikaitkan dengannya bermotifkan politik.

Pada Mac tahun depan, Sarkozy dijadual dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyalahgunakan pembiayaan kempen 2012.

Kes yang turut dikenali sebagai ‘bygmalion’ itu menyaksikan parti Sarkozy dituduh ‘bekerjasama’ dengan sebuah firma perhubungan awam untuk menyembunyikan kos sebenar kempen lapan tahun lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.