Azhar ‘lepas geram’ ekoran kerenah MP pembangkang

901

23 NOV: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ‘menegur’ sikap Ahli Parlimen pembangkang yang terus membangkitkan isu persetujuan diberikan oleh Ketua Whip supaya sidang Dewan Rakyat dipendekkan hanya sehingga jam 2 petang sahaja dan hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan berada dalam dewan pada satu-satu masa..

Beliau juga kesal dan terkilan dengan sikap Ahli Parlimen PH yang suka membangkitkan isu di saat akhir biarpun mereka boleh menghubunginya untuk mengadakan perbincangan awal bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Menurut Azhar, perkara itu tidak sepatutnya timbul kerana semua wakil rakyat mempunyai nombor telefon bimbitnya dan berbeliau sedia mengadakan perbincangan dengan mereka pada bila-bila masa termasuk Sabtu dan Ahad, sebelum persidangan Dewan Rakyat hari bermula.

“Selepas sidang Dewan Rakyat Khamis lalu, kita ada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, namun tiada seorang pun yang menelefon saya mengadakan perbincangan mengenai apa-apa isu.

“Malah, hari Ahad pun saya datang ke pejabat kalau ada perkara berbangkit seperti ini. Nombor telefon WhatsApp semua orang tahu boleh contact saya bila-bila masa. Saya sanggup datang Ahad malam pun kalau perlu dan nak ‘meeting’ tetapi tiada sapa yang contact tetapi tiba-tiba jam 11 pagi perkara ini berbangkit.

“Dulu semasa nak bentang Belanjawan 2021 pun isu sama timbul. Ini keluhan saya kita persetujuan kemudian tiada siapapun contact saya mengenai perkara ini supaya kita boleh bincangkan perkara berkenaan sebelum hari ini. Itulah maksud saya tiba-tiba hari ini dibangkitkan persoalan ini.

“Samalah masa hari Belanjawan sebelum ini, tiada sesiapa membangkitkan perkara itu sehinggalah jam 4 petang hari Belanjawan 2021. Jadi kita sudah rugi masa malah sekarang sudah 29 minit kita rugi. Jadi itulah keluhan saya, tetapi saya akan ada semula mesyuarat dengan Ketua Whip dan ketua parti hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen PH termasuk Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan RSN Rayer (Jelutong) yang mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat memanjangkan tempoh persidangan terutamanya ucapan penggulungan menteri kepada sejam berbanding hanya 20 minit sekarang serta membenarkan lebih ramai Ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat ketika penggulungan oleh menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan isu mengehadkan bilangan hanya 80 Ahli Parlimen berada Dewan Rakyat pada satu masa ketika persidangan berlangsung tidak sepatutnya ditimbulkan kerana perkara berkenaan sudah diputuskan secara bersama dengan Ketua Whip parti dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Sebelum ini kita tiada COVID-19 sekarang ada kita situasi baharu. Malah, dalam sesi taklimat minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan keadaan COVID-19 agak menekan dan adalah amat dibimbangi bahawa jangkitan wabak berkenaan akan berlaku terutamanya Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan nombor yang begitu tinggi.

“Oleh sebab itu didapati perlu kita mengehadkan bilangan Ahli Parlimen yang dibenarkan berada di Dewan Rakyat kepada hanya 80 orang sahaja dan dipendekkan persidangan hanya sehingga jam 2 petang sahaja.

“Saya mahu menamatkan perbahasan ini sekarang supaya kita dapat mengikut masa ditetapkan sehingga sekarang sudah bazirkan 10 minit kita bincangan perkara tiada kena mengena dengan debat ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika bangun mencelah menjelaskan, beliau yang pernah menjadi wakil rakyat pembangkang memang memahami perasaan dan kehendak Ahli Parlimen supaya tempoh perbahasan dan penggulungan dipanjangkan namun situasi sekarang tidak membolehkan dibuat sedemikian.

“Secara jujurnya saya pun pernah berada di sebelah pembangkang saya boleh bersetuju jika kita memperuntukkan masa lebih panjang bukan hanya kepada menteri malah Ahli Parlimen kerana banyak perkara mahu disampaikan.

“Bagaimanapun, sebagaimana disebutkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sebentar tadi kita mempunyai kekangan bukannya alasan semata-mata.

“Kita bukan hanya sengaja memberikan alasan tidak munasabah atau bersesuaian tetapi ia berdasarkan saranan daripada Ketua Pengarah Kesihatan masa sidang yang lebih panjang adalah lebih berisiko terhadap kesihatan, itulah kekangan kita hadapi sekarang.

“Kami menteri pun apabila diberitahu ada tempoh 20 minit sahaja semua mengeluh kerana tidak dapat menyampaikan apa yang hendak dijawab tetapi itulah peraturannya,” katanya.

Takiyuddin juga memberikan jaminan semua teks penggulungan menteri akan dibuat naik ke laman sesawang rasmi Parlimen Malaysia sebaik sahaja mereka selesai menyampaikan ringkasan eksekutif teks ucapan penggulungan masing-masing.

“Sebaik sahaja semua menteri habis menjawab dengan membentangkan rumusan ringkasan eksekutif sahaja dalam masa 20 minit sebagai contoh saya sendiri mempunyai 30 muka surat ringkasnya tidak habis… Sebaik sahaja habis menteri habis membuat penggulungan segala teks yang tidak habis akan dimuat naik ke portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

“Jadi masalah penyata rasmi seperti disebutkan Lembah Pantai tidak timbul kerana apa yang sempat dan tidak sempat disampaikan pun akan dimuat naik ke portal Parlimen,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.