475 ingkar PKP kerana aktiviti pusat hiburan

63

23 NOV: Sebanyak 475 individu diambil tindakan oleh polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat terlibat dengan aktiviti berkaitan pusat hiburan semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam hal ini pemilik premis terlibat diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa atau berdepan tindakan tegas.

Ismail Sabri Yaakob

“Keseluruhannya, PDRM menahan 807 individu semalam kerana ingkar SOP PKP dengan 747 daripadanya dikompaun, lapan dijamin dan selebihnya direman.

“Selain kesalahan aktiviti pusat hiburan yang berjumlah 475, lain-lain adalah berkait tidak memakai pelitup muka dan tidak merekodkan butiran pelanggan serta tiada penjarakan fizikal,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, Ops Benteng semalam berjaya menahan 85 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Katanya, pihak berkuasa juga merampas tiga kenderaan darat dalam operasi berkenaan yang melibatkan sekatan jalan raya (SJR) oleh pelbagai agensi.

“Pasukan penguatkuasa kita meningkatkan kawalan sempadan negara daripada dibolosi PATI dengan tumpuan khas di lorong-lorong tikus. Saya seru orang ramai salur maklumat mengenai PATI kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang bermula esok.

Katanya, setakat semalam, 462 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan berkenaan dan para penduduk selepas ini tertakluk kepada SOP PKPB Selangor.

“Kita turut bersetuju menamatkan PKPD di Medan 88, Salak Tinggi Sepang bermula 25 November. Ini selepas lokaliti dalam keadaan terkawal dan kes mencatatkan penurunan,” katanya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.