4 kluster baharu dikesan, 168 masih aktif

108

23 NOV: Kementerian Kesihatan mengesan empat kluster baharu COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bintang melibatkan pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif di antara 17 hingga 23 November lalu melalui saringan bersasar yang dijalankan di kawasan tersebut.

“Sehingga 23 November 2020, sejumlah 608 individu telah disaring, di mana 95 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Daripada jumlah ini, 94 kes merupakan bukan warganegara dan satu warganegara,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham memberitahu, Kluster Indah Mas pula dikesan di Titiwang dan Kepong, Kuala Lumpur serta Petaling di Selangor.

Beliau menambah, kes indeks dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 November lalu dan setakat hari ini, sejumlah 41 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Teja Kasih dikesan di Kampar dan Kinta, Perak di mana kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 November lalu.

“Sehingga 23 November 2020, sejumlah 130 individu telah disaring, di mana 41 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kluster Kobena yang dikesan di Johor Bahru berpunca dari kes indeks yang merupakan kes severe acute respiratory infections (SARI) yang telah dilaporkan positif COVID-19 pada 20 November lalu.

“Sehingga 23 November 2020, sejumlah 111 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Secara keseluruhan, terdapat 334 kluster dilaporkan setakat ini manakala 166 kluster telah tamat termasuk yang diumumkan hari ini iaitu Kluster Jambul, Kluster Surat dan Kluster Hampar.

Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 168 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 46 kluster mencatatkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini terdiri daripada kluster-kluster yang berkaitan dengan tempat kerja iaitu Kluster Teratai (1,067 kes), Kluster Damanlela (105 kes), dan Kluster Bintang (75 kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.