Sultan Johor sempurna majlis pecah tanah projek RTS

53

22 NOV: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura hari ini.

Apabila beroperasi pada penghujung 2026 nanti, kira-kira 150,000 penumpang dijangka menggunakan kemudahan pengangkutan tersebut setiap hari.

Majlis pecah tanah berlangsung di tapak bangunan ICQ Bukit Chagar dengan disaksikan Sultan Ibrahim secara maya dari Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sultan Ibrahim turut berkenan menandatangani plak perasmian, disusuli dengan simbolik pecah tanah oleh mesin cerucuk di Bukit Chagar.

Pada masa sama, majlis penuh bersejarah ini turut disaksikan hampir 50 orang di pelbagai lokasi berbeza di Johor Bahru, Putrajaya dan Kuala Lumpur secara maya menerusi aplikasi zoom.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau telah menyembah maklum kepada baginda bahawa Kementerian Pengangkutan selaku pengawal selia projek, komited memastikan pengurusan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Katanya, ini termasuk projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu pada tahun 2026.

“Ini yang mana akan memberikan impak yang maksima kepada rakyat Johor,” katanya dalam ucapannya sempena majlis itu yang dikongsi menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata, kira-kira 50 peratus daripada 350,000 pekerja Malaysia di Singapura dijangka berulang-alik menggunakan laluan Tambak Johor, sehari.

Beliau berkata, pembangunan RTS membabitkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar setinggi empat tingkat serta hab pengangkutan multi model dan hartanah campuran di atas tanah berkeluasan 1.49 hektar, manakala depoh di Wadi Hana membabitkan keluasan 5.26 hektar.

Katanya, apabila siap nanti RTS akan menjadi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunkan di Johor sekali gus bakal mengubah landskap pengangkutan bandar raya Johor Bahru.

“RTS sejauh empat kilometer yang menghubungkan antara ICQ Bukit Chagar ke Stesen Woodlands North, di Singapura, sudah dimulakan dengan kerja awalan iaitu pembersihan tapak dan pengalihan utiliti di kawasan berkenaan.

“RTS yang kos ditanggung Malaysia bernilai RM3.7 bilion itu bakal menggunakan lapan set tren dengan setiap satu set tren berkenaan mengandungi empat gerabak dengan kapasiti setiap gerabak adalah seramai 250 pengguna.

“Masa perjalanan hanya lima minit dengan kekerapan tren 3.6 minit ketika waktu puncak dan enam minit waktu bukan puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari,” katanya pada sidang media majlis pecah tanah RTS secara maya.

Menurut beliau, harga tiket masih belum ditentukan, namun harganya akan kompetitif dan mampu milik bagi pengguna.

Tambahnya, kontraktor bumiputera dari Johor akan diberi peluang dalam pembinaan projek RTS yang membabitkan agihan sebanyak RM800 juta ringgit.

“Ia membabitkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan RM2 bilion bagi pembinaan RTS.

“Pengumuman untuk peluang kepada kontraktor bumiputera dari Johor dijangka diumumkan EXCO Kerajaan Johor, minggu depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.