Rasuah: Kesatuan saran guna cop digital macam Australia

56

22 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dicadangkan menggunakan cop digital sepenuhnya di semua pintu masuk negara bagi mengekang salah guna cop keselamatan sedia ada oleh pihak tertentu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung (KPISM), Norhisham Murujan, berkata penggunaan cop digital sepenuhnya sudah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia.

Norhisham berkata, sistem baharu yang sedang dibangunkan itu sewajarnya melihat perkara terbabit kerana mereka tidak boleh lagi menggunakan pendekatan konvensional dalam menyediakan perkhidmatan.

Selain itu, KPISM mengesyorkan pemerkasaan langkah sedia ada, antaranya memperluaskan skop audit Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) di semua pintu masuk negara.

“Pegawai integriti JIM yang mempunyai sijil Certified Integrity Officer (CeIO) perlu diperbanyak, selain memperkemas prosedur operasi standard; membangunkan Pelan Anti Rasuah Imigresen komprehensif dan holistik serta memastikan peruntukkan latihan mencukupi dalam membangunkan kompetensi pegawai secara konsisten, selari dengan visi dan misi jabatan.

“KPISM yang mewakili 12,000 pegawai imigresen ingin menzahirkan komitmen menyokong usaha pencegahan rasuah dalam JIM, termasuk menumpaskan dalang cuba menawarkan rasuah seperti ejen, sindiket serta pelancong asing yang cuba masuk ke negara ini secara tidak teratur.

“KPISM menggesa semua pegawai JIM teruskan semangat dan berikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara berlandaskan konsep integriti dan profesional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi pegawai imigresen termasuk seorang berpangkat Timbalan Pengarah yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berhubung siasatan kes rasuah membabitkan cop sempadan.

Sebelum ini, seramai 50 individu membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam ditahan dalam Op Selat, selain wang tunai lebih RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi turut dirampas.

Norhisham berkata, KPISM sentiasa bekerjasama dengan JIM bagi mempromosi ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

“Selain itu, memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen menyokong pencegahan rasuah serta pematuhan undang-undang, peraturan berkaitan memerangi rasuah dalam kalangan pegawai dan pihak menawarkan rasuah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited membantu Jabatan Imigresen membanteras aktiviti salah laku dan rasuah dalam kalangan pegawai agensi itu.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai, jika terbukti dan disabitkan bersalah di mahkamah.

Bagaimanapun, KPISM berharap siasatan telus, adil dan profesional dilaksanakan pihak berkuasa, selain berharap semua pihak lebih adil membuat laporan dan menyatakan pandangan.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan pegawai JIM lain yang tidak terbabit dan menjalankan tugas dengan penuh integriti menjadi mangsa dan dimalukan kerana tidak adil jika tanggapan negatif diberikan kepada seluruh pegawai agensi berkenaan.

“Pengorbanan mereka dalam melaksanakan tugas demi keselamatan negara dengan penuh integriti dan profesional terutama ketika penularan COVID-19 harus juga dihargai.

“Pegawai bertugas sebagai barisan hadapan di Depot Imigresen, ketika operasi dan lain-lain lapangan meletakkan diri dalam risiko tinggi hingga ada disahkan positif COVID-19 serta dikuarantin daripada keluarga.

“KPISM juga berharap jabatan itu terus memberi fokus utama dalam memperkasakan langkah pencegahan aktiviti salah guna kuasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.