Cuti bomba dibekukan ikut keperluan musim tengkujuh

21

22 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membekukan cuti 15,000 pegawai dan anggotanya berdasarkan keperluan bergantung kepada keadaan musim tengkujuh yang berlaku.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, (KPKT) Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, setakat ini pegawai dan anggota bomba seluruh negara belum dibekukan cuti dan memberi kelonggaran kepada mereka untuk bercuti atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, bagaimanapun mereka sentiasa berada dalam kesiapsiagaan memandangkan beberapa negeri ketika ini sedang menghadapi musim tengkujuh.

“Mengenai cuti anggota kita sebenarnya setakat ini belum dibekukan dan kita akan melihat kepada keperluan.

“Andai kata ada keperluan membekukan cuti, kita akan bekukan cuti. Kita bagi ruang kepada mereka yang memerlukan cuti atas sebab yang tidak boleh dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Parlimen Maran hari ini.

Ismail berkata, pegawai dan anggota kini berada dalam kesiapsiagaan dan sudah menjalani latihan penyelamatan selain melakukan sanitasi awam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurutnya, JBPM sentiasa memainkan peranan mereka dalam membantu masyarakat dalam negara dan peranan yang dimainkan mereka tidak putus-putus.

“Mereka adalah barisan hadapan dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang berlaku ketika ini dan pada masa sama perlu berkhidmat membantu masyarakat pada musim tengkujuh.

Pada majlis itu, seramai 90 orang terdiri daripada kumpulan B-40 dan warga emas dalam daerah itu menerima sumbangan makanan bagi meringankan beban harian mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.