381 ingkar PKP, aktiviti kelab malam kesalahan tertinggi

47

22 NOV: Seramai 377 individu dikompaun manakala empat lagi direman selepas ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan terbanyak yang diambil tindakan semalam ialah aktiviti pusat hiburan dengan 96 kes dan diikuti tidak memakai pelitup muka (80), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46).

Ismail Sabri Yaakob

“Semalam (21 November 2020), Operasi Benteng pula telah berjaya menahan 20 pendatang tanpa izin (PATI), tiga penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat menerusi 278 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan media harian mengenai perkembangan pelaksanaan PKP sebentar tadi.

Dalam perkembang lain, Ismail Sabri berkata sehingga semalam seramai 9,855 individu yang baharu pulang ke tanah air melalui pintu sempadan antarabangsa kini sedang menjalani proses kuarantin wajib termasuk 404 individu pula kini dihantar ke hospital untuk rawatan.

Beliau berkata, mereka adalah sebahagian daripada 72,182 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam.

“Mereka menjalani kuarantin wajib di 74 hotel dan 18 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Seramai 61,923 individu pula sudah dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, sebanyak 35 operasi sanitasi membabitkan sembilan zon merah, tiga zon jingga dan enam zon kuning serta sembilan zon hijau di 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan dijalankan semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.