Remaja perempuan maut akibat jangkitan rabies

48

21 NOV: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Sarawak meninggal dunia akibat dijangkiti wabak rabies pada 11 November lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes rabies terbaharu tersebut telah menjadikan jumlah kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada enam tahun ini dan merupakan kes ke-28 sejak wabak rabies diisytiharkan di negeri keenam pada 31 Julai 2017.

Menurut beliau, remaja berkenaan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 10 November selepas demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif selain turut mengalami aerofobia dan hidrofobia.

“Beliau meninggal dunia jam 3.45 petang di Hospital Umum Sarawak dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 November.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes ini. Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

“Beliau ada memelihara empat ekor kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah mendapat vaksinasi, namun sehingga kini haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil langkah pencegahan seperti mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur

Menurut beliau, jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat, .

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar dan laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

“Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia.

“Ini bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehensif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan dengan mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan awam,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.